Sekiranya anda mempunyai perancangan nak bawa keluarga berjalan-jalan di Perak, ini info penting tentang harga tiket Zoo Taiping yang akan berubah bermula 15 Mac ini.
Selepas lebih sedekad kekal dengan kadar sama sejak 2013, Zoo Taiping & Night Safari akhirnya mengumumkan pelarasan baharu melibatkan semua kategori pengunjung.
Baca juga: KTMB Umum 26 Perjalanan Tren Tambahan Sempena Aidilfitri, Cepat Beli Nanti Tiket Habis!
KADAR BAHARU HARGA TIKET ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI

Gambar: Zoo Taiping & Night Safari
Menurut kenyataan media rasmi yang dihebahkan, pelarasan ini dilaksanakan bagi memastikan kelestarian operasi serta memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar di Zoo Taiping & Night Safari.
Langkah tersebut juga bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan dan pengalaman pelawat secara menyeluruh.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata, semakan ini mengambil kira peningkatan kos operasi termasuk penyelenggaraan habitat haiwan, kebajikan dan penjagaan veterinar, fasiliti awam, keselamatan serta penambahbaikan infrastruktur.
“Selain itu, ia (pelarasan harga tiket masuk) juga mengambil kira peningkatan kos bahan makanan haiwan sejajar dengan kenaikan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kadar baharu untuk warganegara
1. Bagi warganegara, kadar baharu Zoo Taiping ditetapkan seperti berikut:
- Dewasa (13–59 tahun): RM25 berbanding RM16 sebelum ini
- Kanak-kanak (3–12 tahun): RM12 berbanding RM8
- Warga emas (60 tahun ke atas): RM10 berbanding RM8
2. Untuk Night Safari pula:
- Dewasa: RM30 berbanding RM20
- Kanak-kanak: RM15 berbanding RM10
- Warga emas: kekal RM10
Kadar untuk bukan warganegara
Bagi bukan warganegara, kadar baharu bermula 15 Mac adalah seperti berikut:
1. Zoo Taiping:
- Dewasa: RM40
- Kanak-kanak: RM20
- Warga emas: RM20
2. Night Safari:
- Dewasa: RM50
- Kanak-kanak: RM25
- Warga emas: RM20
Kesemua harga termasuk perkhidmatan trem.
Tiket percuma kepada yang layak
Selain itu, kemasukan percuma masih diberikan kepada:
- Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU)
- Kanak-kanak berumur bawah tiga tahun
Langkah ini melibatkan warganegara dan bukan warganegara sebagai sebahagian daripada komitmen sosial pihak pengurusan.

Gambar: Majlis Perbandaran Taiping.
Mohamed Akmal berkata, dengan purata kehadiran sekitar 600,000 pelawat setahun, zoo ini kini menempatkan lebih 1,300 haiwan daripada 120 spesies di kawasan seluas 36 hektar dengan laluan pejalan kaki sepanjang 2.5 kilometer.
Pihak pengurusan ZNTS turut menegaskan kadar baharu ini masih kompetitif dan berpatutan berbanding produk pelancongan setara di Malaysia demi memastikan standard kebajikan haiwan serta pengalaman pelawat kekal pada tahap terbaik.
Mohamed Akmal berkata ZTNS juga kekal antara zoo terbesar di Malaysia yang menawarkan harga tiket paling murah dan berpatutan kepada semua lapisan masyarakat.
Sumber: Facebook Zoo Taiping & Night Safari
FT Image: Tourism Perak Malaysia / Zoo Taiping & Night Safari
