Baru-baru ini, seorang guru pendidikan khas dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah yang bernama Roderic John Raymond berjaya mencuri perhatian selepas meraih anugerah ‘World Changer Award’ daripada Special Education Network and Inclusion Association (SENIA), iaitu sebuah organisasi pendidikan antarabangsa yang memberi fokus terhadap pendidikan inklusif dan pelajar berkeperluan khas.
Baca juga: Hebat! 3 Anak Muda Malaysia Terima Pengiktirafan Diraja Di London, Harumkan Nama Negara
GURU PENDIDIKAN KHAS SABAH RAIH ANUGERAH WORLD CHANGER AWARD

Foto: Sabah News
Memetik laporan TV Sabah News, Roderic merupakan antara pendidik yang aktif memperjuangkan peluang sama rata buat pelajar berkeperluan khas, khususnya dalam bidang sukan dan pembangunan diri.
Pengiktirafan antarabangsa itu diberikan susulan komitmen beliau dalam memperkasa komuniti pelajar istimewa sehingga berjaya menyerlahkan potensi mereka di pelbagai peringkat.
Komitmen Besar Dalam Pendidikan Dan Pembangunan Pelajar

Foto: Sabah News
Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, pihak kolej sentiasa menyokong usaha yang memberi ruang inklusif kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang mahupun cabaran yang dihadapi.
Katanya, pendekatan seperti itu penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk berkembang, membina keyakinan diri serta mempunyai masa depan yang lebih baik seperti pelajar lain.
Selain bergelar guru pendidikan khas, Roderic juga aktif sebagai jurulatih olahraga dan banyak melatih pelajar dalam acara pecut, trek serta larian merentas desa.
Lebih menarik lagi, di bawah bimbingan beliau, ramai pelajar berkeperluan khas berjaya mencipta pencapaian membanggakan dalam kejohanan olahraga khas di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Kejayaan tersebut bukan sahaja membuka mata ramai pihak terhadap kebolehan pelajar istimewa, malah membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dan menyerlah apabila diberikan peluang, latihan serta sokongan yang sewajarnya.
Bantu Pelajar Neurodivergen Dalam Bersukan

Foto: Sabah News
Pada masa yang sama, beliau turut menjalinkan kerjasama bersama Kaki Bangku Soccer Clinic (KBSC), sebuah inisiatif sosial yang menggunakan bola sepak sebagai medium pembangunan sosial.
Usaha tersebut sekali gus membuka lebih banyak ruang buat pelajar istimewa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti luar bilik darjah.
Menerusi kerjasama itu, seramai 35 pelajar termasuk golongan neurodivergen, autistik dan bermasalah pendengaran menerima latihan percuma daripada jurulatih berpengalaman serta beberapa personaliti media.
Program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia sukan, malah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, disiplin, keyakinan diri dan interaksi sosial dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.
Selain itu, sebanyak 16 biji bola sepak turut disumbangkan bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam sukan berpasukan.
Difahamkan, usaha seperti ini amat penting kerana aktiviti sukan mampu menjadi platform terbaik untuk membantu pelajar berkeperluan khas membina hubungan sosial, belajar bekerja dalam kumpulan serta mengasah bakat yang mungkin sebelum ini tidak diketengahkan.
Pengiktirafan yang diterima Roderic sekali lagi membuktikan bahawa peranan seorang guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi juga menjadi individu penting dalam mengubah kehidupan pelajar ke arah yang lebih positif.
Dedikasi dan usaha berterusan beliau dalam membantu pelajar berkeperluan khas turut menjadi inspirasi kepada ramai pendidik lain agar terus memperjuangkan pendidikan inklusif dan peluang sama rata buat semua golongan tanpa terkecuali.
Baca juga: Isu Isteri Nubhan Tuntut Harta Sepencarian 50/50 & RM5 Juta, Logik Atau Tak? Ini Penjelasan Mahkamah
Sumber: Sabah News
FT Images: Sabah News
