Dalam dunia pendidikan antarabangsa, kisah seorang guru Malaysia yang menetap di Yokohama, Jepun baru-baru ini mencuri perhatian ramai selepas menerima satu nota berbaur xenophobia yang didakwa mendesaknya meninggalkan negara tersebut.
Menurut laporan, seorang guru bahasa Inggeris dari Malaysia, Banden Tong, menerima nota yang ditampal pada pintu rumah dan keretanya.
Baca juga: 3 Individu Panjat Papan Tanda Jalan Ikut Trend “Maui Wowie”, DBKU Bakal Ambil Tindakan Lapor Polis!
GURU MALAYSIA TERIMA NOTA DESAK TINGGALKAN JEPUN

Satu nota berbaur xenophobia diterima seorang guru bahasa Inggeris asal Malaysia yang tinggal di Yokohama, Jepun.
Gambar nota berkenaan turut dikongsikannya di akaun Thread, menunjukkan mesej dalam bahasa Jepun yang jelas berunsur kebencian terhadap warga asing.
Dalam nota itu tertulis:
“Faksi Konservatif Bandar Yokohama, kepada warga asing, sila tinggalkan Jepun. Kamu tidak dialu-alukan di sini. Jepun tidak perlukan imigran. Cukai rakyat Jepun bukan untuk kamu. Pulanglah ke negara kamu”.
Banden berkata dia menemui nota tersebut sebaik pulang dari kerja sebelum berkongsi kejadian itu di media sosial, yang kemudian menerima ribuan reaksi termasuk lebih 800 komen menyokongnya.
Kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya. Dalam masa yang sama, dia turut meluahkan emosinya, “Wahai konservatif, adakah kamu berpuas hati sekarang? Kerana kamu benar-benar telah menyakiti saya dengan mendalam.
“Saya dari Malaysia dan sejak kecil saya mengagumi Jepun. Ibu bapa saya juga mencintai budaya Jepun, jadi saya membesar dengan perasaan itu.
“Tahun lalu, impian saya menjadi kenyataan. Saya membeli sebuah rumah dan kereta di Yokohama. Saya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris. Setiap hari saya gembira menghabiskan masa dengan pelajar-pelajar saya,” katanya.
Susulan itu, Banden membuat laporan kepada polis. Pihak berkuasa memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan rondaan turut dipertingkatkan di kawasan kejiranannya demi keselamatan.
Baca juga: Kerajaan Umum Harga Petrol Terkini RON97 RM3.25, RON95 RM2.65 Seliter Mulai 13 Hingga 19 November!

Gambar hiasan aredutech.
Kisah ini turut mengundang sokongan luas daripada masyarakat Jepun sendiri.
Seorang wanita Jepun yang rapat dengan pelajar pertukaran Malaysia menulis, “Sebagai orang Jepun, saya meminta maaf. Bukan semua warga asing itu jahat. Menilai orang sebagai satu kumpulan adalah tanda kemiskinan jiwa.”
Seorang lagi warga maya Jepun turut menyuarakan rasa malu atas perlakuan tersebut, “Saya malu sebagai orang Jepun. Tolong jangan biarkan perkara ini mengusir anda, saya harap anda akan terus tinggal di Jepun.”
Isu yang menimpa guru Malaysia ini mencerminkan ketegangan yang semakin ketara di Jepun berkaitan pekerja asing, imigresen dan identiti nasional.
Ketika populasi negara itu semakin menua dan mengecil, kerajaan telah memperluas skim visa kerja untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja, terutamanya dalam sektor pembinaan dan penjagaan warga emas.
Namun, pada masa sama, sentimen anti-imigran turut meningkat apabila parti sayap kanan Sanseito yang membawa slogan nasionalis ‘Jepun Didahulukan’ mencatat kejayaan luar biasa dalam pilihan raya Dewan Atasan pada Julai lalu.
Di mana, peningkatan kerusi daripada satu kepada 14, sekali gus menandakan kebimbangan baharu terhadap landskap sosial dan politik negara itu.
Sumber: Kosmo!
FT Image: Kosmo!
