Dalam Islam, gurauan dibenarkan selagi tidak melampaui batas dan tidak menyakiti perasaan orang lain. Namun, terdapat gurauan yang diharamkan kerana melibatkan penghinaan, dosa lidah dan mempermainkan perkara serius dalam agama.
Gurauan seperti ini bukan sahaja menjejaskan hubungan sesama manusia, tetapi juga boleh menggugurkan iman jika dilakukan tanpa batas. Oleh itu, setiap Muslim perlu berhati-hati agar senda gurau yang dilakukan tidak menjadi punca dosa.
Baca juga: PU Amin Tampil Jelaskan Isu Wanita Berjuang Tanpa Mahram – “Ada Budak Nak Peluk Ibu…”
5 GURAUAN YANG DIHARAMKAN DALAM ISLAM, HATI-HATI BILA MELAWAK

Freepik
Berikut lima contoh gurauan yang diharamkan dalam Islam:
1. Gurau tentang warna kulit atau bersifat perkauman
Gurauan yang diharamkan dalam Islam adalah tentang warna kulit atau bersifat perkauman. Islam menolak sebarang bentuk penghinaan berdasarkan warna kulit atau bangsa.
Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa tiada kelebihan orang Arab atas bukan Arab atau orang berkulit putih atas yang hitam kecuali dengan takwa.
Gurauan itu bukan sekadar menyakitkan, tetapi menanam benih kebencian dan kesombongan. Ia tergolong dalam perbuatan menghina dan sombong terhadap ciptaan Allah.
2. Gurau tentang kematian
Bergurau dengan mengatakan seseorang “macam nak mati dah” atau “kubur dah panggil” dianggap tidak beradab. Kematian adalah perkara serius yang sepatutnya dijadikan peringatan, bukan bahan jenaka.
Ia menunjukkan kurang adab terhadap ketentuan Allah dan boleh menyinggung perasaan orang lain, khususnya mereka yang pernah kehilangan insan tersayang. Rasulullah SAW juga melarang mempermainkan perkara ghaib dan kematian.
3. Gurauan yang diharamkan – hina rupa seseorang
Memperlekeh rupa fizikal seperti bentuk badan, wajah atau kecacatan adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Allah mencipta setiap manusia dengan keunikan masing-masing.
Gurauan seperti mengata seseorang itu gemuk seperti tong gas, termasuk dalam ejekan dan penghinaan yang dilarang dalam Surah Al-Hujurat ayat 11.

4. Gurau tentang agama
Gurauan yang diharamkan dalam Islam selanjutnya adalah tentang hukum Allah, Nabi, syurga, neraka atau azab adalah perkara serius yang boleh tergolong dalam perbuatan kufur jika dilakukan dengan niat memperlekeh agama.
Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 65-66 bahawa sesiapa yang memperolok agama bukan lagi dianggap beriman. Agama bukan bahan lawak walaupun niatnya hanya untuk menghiburkan orang lain.
5. Gurauan yang diharamkan – gelar seseorang dengan nama buruk
Memanggil seseorang dengan gelaran yang negatif seperti gila, bo*oh dan lain-lain adalah satu bentuk penghinaan. Allah berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 11, “Janganlah kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.”
Perbuatan ini bukan sahaja menyakiti hati tetapi boleh memutuskan hubungan baik dan menimbulkan permusuhan.
Kesimpulannya, Islam mengajar umatnya untuk bergurau dengan berhemah dan beradab. Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau tetapi tidak pernah berkata bohong atau menyakiti hati orang lain.
Baca juga: 11 Golongan Ini Diharamkan Cium Bau Syurga, Ramai Tak Sangka Rupanya Selalu Berlaku Dalam Hidup
Sumber: TikTok
