Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses Grok AI di Malaysia berkuat kuasa 11 Januari semalam, selepas mendapati teknologi kecerdasan buatan itu disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah dan seksual eksplisit.
Menurut MCMC, tindakan tersebut turut melibatkan penularan kandungan tidak senonoh serta imej manipulasi tanpa persetujuan yang membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Baca juga: Ramai Tak Sedar Taktik Kecurian Dalam Pesawat, Buat 4 Tips Mudah Ini Untuk Pastikan Barang Selamat!
MCMC ARAH SEKATAN SEMENTARA TERHADAP GROK AI

MCMC menjelaskan bahawa sekatan ini dibuat berikutan penyalahgunaan Grok AI untuk menjana kandungan seksual eksplisit yang melampau, termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak. Kandungan sebegini dianggap jelik dan membahayakan.
“Langkah itu juga diambil berikutan kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC,” menurut kenyataan itu.
NOTIS KEPADA X Corp. DAN xAI LLC

Gambar Sinar Harian
MCMC memaklumkan bahawa notis telah dikeluarkan pada 3 dan 8 Januari kepada pihak berkenaan bagi menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta sistem penyeliaan kandungan yang lebih berkesan.
Tuntutan turut merangkumi penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 dan 9 Jan hanya memberikan tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat AI tersebut,” jelas kenyataan itu.
Baca juga: Tutorial Lengkap Cara Guna Aplikasi MyGOV Untuk Semak STR & Bantuan Kewangan, Tak Payah Pening Dah!
Susulan itu, MCMC mendapati perkara ini tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang. Menegaskan bahawa, sekatan akses ini dibuat sebagai langkah pencegahan sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
“Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” jelas kenyataan itu lagi.
MCMC kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.
“Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia,” menurut kenyataan rasmi itu.
Baca juga: Berjaya Bekukan Akaun Scammer Selepas Bengang Ditipu RM150, Lelaki Ini Dedah Taktik Mudahnya!
Sumber: BERNAMA
FT Image: Sinar Harian / Freepik
