Seorang ibu di laman Facebook dikenali sebagai Siti Nur Haliza, berkongsi pengalaman penuh emosi mengenai gigi anak rosak dan terpaksa menjalani prosedur pembedahan membuang kesemua gigi.
Kisah gigi anak rosak dan perlu mencabut 12 batang gigi mendapat perhatian ramai di media sosial selepas dia menceritakan kronologi sebenar yang dilalui keluarganya.
Baca juga: 2 Beradik Hanyut Ketika Ambil Bola, Adik Disahkan Meninggal Dunia & Pencarian Abang Diteruskan
GIGI ANAK ROSAK SEBAB SUSU BOTOL SAMPAI UMUR 4 TAHUN

Menurut ibu berkenaan, beberapa bulan lalu anaknya sering mengadu sakit kepala setiap kali bangun tidur. Walaupun tidak menunjukkan tanda demam, keadaan anaknya menjadi kurang aktif, hilang selera makan dan mengalami muntah berulang kali.
Bimbang dengan keadaan tersebut, dia membawa anaknya ke klinik, namun selepas diberi ubat, simptom sama masih berterusan. Pada keesokan harinya, lawatan kedua ke klinik menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk menahan anaknya di wad kerana tidak menemui punca pening yang dialami.
Doktor kemudian mencadangkan prosedur mengambil air tulang belakang bagi memeriksa kemungkinan berlaku radang otak. Namun ibu tersebut tidak bersetuju dan kes dirujuk kepada pakar sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani CT Scan.
“Sampai HSNZ, anak saya ditidurkan untuk buat CT Scan. Alhamdulillah keputusan ok, tiada masalah serius ditemui. Doktor turut melakukan pemeriksaan nadi dan tekanan darah, kemudian mendengar degupan jantung anak saya.
“Ketika itu doktor perasan ada sesuatu yang tidak kena, lalu melakukan imbasan dan mendapati terdapat lubang kecil pada jantungnya. Pemeriksaan gigi turut dilakukan dan mendapati gigi berada dalam keadaan sangat buruk.
“Anak saya kemudian dirujuk kepada pakar bedah mulut di HSNZ kerana bimbang keadaan gigi tersebut memberi kesan lain.
Selepas itu, kami menerima tarikh temujanji untuk pengambilan darah dan berjumpa pakar pediatrik selepas keluar wad, sebelum dirujuk semula kepada pakar bedah mulut bagi masalah giginya,” jelasnya.

Selepas menjalani pemeriksaan terperinci, pakar dental mengesahkan bahawa kesemua gigi anaknya perlu dibuang kerana rosak teruk dan tidak boleh dirawat secara tampalan.
Ibu tersebut menunggu hampir dua hingga tiga bulan sebelum tarikh pembedahan diberikan. Pada hari pembedahan, seorang ibu atau ayah dibenarkan menemani anak hingga proses tidurkan dilakukan. Selepas selesai, kanak-kanak itu dipantau selama 30 minit sebelum dibawa keluar dari bilik bedah.
“Lepas siap, anak saya sedar cuma mamai sedikit. Menangis awal-awal sebab kebas bius dan sedikit sakit, tapi lama-lama ok. Gigi anak saya ada keries botol susu kerana tabiat minum susu botol hingga tertidur, selain jarang menggosok gigi.
Ya, saya bukan ibu yang sempurna. Saya akui saya tak jaga betul-betul gigi anak. Tapi Alhamdulillah, sekarang anak saya sihat, aktif seperti biasa, itu yang paling penting,” luahnya.
Walaupun begitu, si ibu tersebut tetap bersyukur kerana anaknya kini stabil dan kembali ceria selepas melalui perjalanan rawatan yang panjang.
Baca juga: Disangka Masalah Kamera, Rupanya Sihir Cemburu! Wajah Pengantin Dalam Gambar Jadi Nenek Tua
Sumber: Facebook Siti Nur Haliza
