Bagi sesetengah wanita, tidur pakai coli (bra) mungkin sudah menjadi kebiasaan, sama ada kerana rasa lebih selesa atau takut payudara menjadi kendur.
Malah, ada juga yang masih percaya mesej lama yang mendakwa memakai coli ketika tidur boleh menyebabkan kanser payudara.
Baca juga: Masak Penat-Penat Tapi Tak Lapar, Pelik Kan? Rupanya Otak Dah ‘Makan’ Dulu, Ini Sains Disebaliknya
TIADA BUKTI SAINTIFIK TIDUR PAKAI COLI SEBABKAN KANSER

Gambar hiasan: Gemini AI
Namun menurut perkongsian daripada Public Health Malaysia (PHM), tanggapan tersebut sebenarnya tidak tepat dan tergolong dalam kategori mitos yang masih berlegar dalam masyarakat hingga hari ini.
PHM menjelaskan bahawa setakat ini, tiada satu pun kajian saintifik yang membuktikan pemakaian coli ketika tidur boleh menyebabkan kanser payudara. Kepercayaan itu sering berpunca daripada mesej berantai lama yang disebarkan tanpa asas bukti perubatan.
Dalam masa sama, isu payudara kendur juga sering disalah faham. Hakikatnya, keadaan tersebut lebih berkait dengan faktor usia, genetik, kehamilan serta kesan graviti apabila seseorang berada dalam posisi berdiri.
Ia bukan berlaku semata-mata kerana seseorang memilih untuk tidak memakai coli ketika tidur.
Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Masuk Dewan Bedah, Rupanya Ada ‘Tudung OT’ Untuk Jaga Aurat Pesakit!
INI SEBAB DOKTOR SARANKAN BUKA COLI WAKTU TIDUR
Walaupun tidur pakai coli tidak menyebabkan kanser, pakar kesihatan tetap menggalakkan wanita untuk menanggalkan coli sebelum tidur, khususnya yang mempunyai dawai besi atau ketat.
Ini kerana pemakaian coli yang ketat dalam tempoh lama boleh memberi kesan kepada keselesaan dan fungsi fisiologi badan secara tidak langsung.

Antara sebab utama yang dikongsikan ialah:
1. Boleh menekan saluran limfa di kawasan dada dan ketiak
Saluran limfa berfungsi membantu menyingkirkan sisa dan toksin dari badan. Tekanan berpanjangan akibat coli yang ketat boleh menjejaskan aliran cecair limfa dan menyebabkan rasa tidak selesa.
2. Pernafasan menjadi kurang bebas ketika tidur
Semasa tidur nyenyak, tulang rusuk perlu mengembang sepenuhnya untuk membolehkan badan menerima oksigen secara optimum.
Coli yang ketat boleh menyebabkan pernafasan menjadi lebih pendek dan menjejaskan kualiti tidur.
3. Risiko ruam dan jangkitan kulit meningkat
Kawasan bawah payudara dan ketiak mudah berpeluh, terutama dalam cuaca panas.
Apabila peluh terperangkap dalam tempoh lama, ia boleh menjadi persekitaran sesuai untuk bakteria dan kulat membiak, sekali gus menyebabkan ruam, gatal atau jerawat badan.
PILIH COLI YANG LEBIH SELESA UNTUK TIDUR
PHM turut menyarankan bahawa jika seseorang masih berasa tidak selesa tidur tanpa sokongan, mereka boleh memilih jenis coli khas untuk tidur seperti sleep bra yang diperbuat daripada fabrik lembut, longgar dan tanpa dawai.
Langkah ini boleh membantu mengekalkan keselesaan tanpa menjejaskan fungsi semula jadi badan ketika berehat.
Akhirnya, perkara paling penting ialah memberi ruang kepada tubuh untuk berehat sepenuhnya selepas seharian beraktiviti. Tubuh yang selesa ketika tidur akan membantu meningkatkan kualiti rehat dan kesihatan secara keseluruhan.
Baca juga: KKM Tegaskan Terapi ‘Tidur 6 Saat’ Tidak Disokong Sains & Boleh Bawa Maut, Jangan Cuba-Cuba!
Sumber: Facebook Public Health Malaysia (PHM)
FT Image: Gemini AI
