Ramai ambil ringan soal aurat ketika bersendirian sedangkan, salah satu ikhtiar untuk elak gangguan jin adalah dengan memastikan aurat tidak terbuka kepada pandangan makhluk ghaib.
Dalam Islam, kita diajar untuk sentiasa menjaga aurat, bukan sahaja daripada pandangan manusia, tetapi juga daripada pandangan makhluk halus seperti jin.
Baca juga: Berwuduk Guna Sisa Minuman Air Kucing, Sebenarnya Najis Atau Suci?
DOA ELAK GANGGUAN JIN SUPAYA AURAT TAK DILIHAT MAKHLUK LAIN

Ramai dalam kalangan kita yang mungkin tidak sedar bahawa ketika menanggalkan pakaian, sama ada untuk mandi, menukar baju atau masuk ke tandas, ada makhluk lain yang boleh melihat kita jika tidak dijaga adab dan doanya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, Baginda bersabda:
سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ أَحَدُهُمُ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللهِ
Maksudnya: “Penutup (penghalang) antara pandangan jin dengan aurat anak-anak Adam ketika seseorang masuk ke dalam tandas adalah dengan mengucapkan: Bismillah” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Ucapan ringkas ini menjadi hijab atau pelindung yang menghalang jin daripada melihat aurat kita. Ia menunjukkan betapa Islam sangat menitikberatkan soal maruah dan kehormatan diri, walaupun ketika bersendirian.
Bacaan Bismillah sebaiknya dilafazkan sebelum membuka pakaian tidak kira di mana sahaja, sama ada di rumah, bilik air atau ketika ingin mandi. Amalan ini juga sesuai diajarkan kepada anak-anak sejak kecil, supaya mereka membesar dengan kesedaran menjaga aurat menurut panduan Islam.
Walaupun nampak mudah, amalan ini sebenarnya satu bentuk perlindungan ghaib yang sangat besar manfaatnya. Semoga dengan mengamalkannya, aurat kita sentiasa terpelihara daripada pandangan makhluk yang tidak sepatutnya.
Baca juga: Ramai Perempuan Haid Dilarang Memandikan Jenazah, Tapi Sebenarnya Boleh Atau Tidak?
Sumber: Facebook
