Pernahkah anda mengalami situasi di mana wang tidak keluar dari mesin ATM walaupun jumlah telah ditolak daripada akaun? Situasi ini dikenali sebagai cash jammed, dan ia boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti masalah teknikal pada mesin atau gangguan sambungan sistem.
Walaupun keadaan ini boleh mendatangkan panik, penting untuk anda tahu bahawa ada langkah-langkah tertentu yang boleh diambil untuk memastikan wang anda dikembalikan.
Baca juga: Cara Semak Status Kelayakan Bantuan TAMBAHAN SARA 2025, Mungkin Kali Ini Anda Lulus!
Apa Perlu Buat Jika Wang Tunai Tersekat (Cash Jammed) di Mesin ATM?

Apa nak kena buat? Jom ikut langkah di bawah:
1. Ambil Gambar Skrin ATM
Sekiranya mesin ATM memaparkan mesej ralat seperti “cash jammed” atau mesej berkaitan transaksi gagal, segera ambil gambar paparan tersebut. Ini boleh dijadikan bukti penting ketika membuat laporan kepada pihak bank.
2. Ambil Gambar Nombor ID ATM
Setiap mesin ATM mempunyai nombor ID yang unik, biasanya tertera pada badan mesin. Ambil gambar nombor ID tersebut untuk memudahkan pihak bank mengenal pasti lokasi dan mesin yang terlibat.
3. Simpan Resit Transaksi
Jika mesin mengeluarkan resit walaupun wang tidak diterima, simpan resit tersebut. Namun, sekiranya tiada resit dikeluarkan, catat maklumat penting seperti:
– Tarikh dan masa kejadian
– Lokasi cawangan atau mesin ATM
– Nombor ID ATM Maklumat ini boleh dicatat dalam nota telefon atau secara bertulis sebagai rujukan.
4. Hubungi Khidmat Pelanggan Bank
Segera hubungi talian khidmat pelanggan bank (nombor biasanya tertera pada mesin ATM atau kad bank anda) dan buat laporan dalam masa 24 jam dari waktu kejadian. Laporan awal boleh mempercepatkan proses siasatan dan pemulangan wang.
5. Catat Nama Pegawai dan Nombor Laporan
Semasa membuat panggilan, pastikan anda mencatat nama pegawai yang membantu serta nombor laporan atau rujukan kes. Ini penting sekiranya anda perlu membuat susulan kemudian.
6. Jika Berlaku pada Hujung Minggu
Jika kejadian berlaku pada hari minggu atau cuti umum, kunjungi cawangan bank terdekat pada hari bekerja. Di sana, anda perlu mengisi borang khas untuk kes ‘cash jammed’. Pastikan anda meminta dan menyimpan satu salinan borang sebagai bukti.

Perlu diingatkan bahawa masalah wang tidak keluar dari ATM memang boleh berlaku, tetapi dengan tindakan yang betul dan pantas, anda boleh melindungi hak anda dan mempercepatkan proses pemulangan wang. Bertenang tau!
Baca juga: Senarai Barang & Jenama Keperluan Asas Boleh Beli Guna Bantuan MyKasih 2025, Banyak Pilihan!
Sumber: Mohd Azzmie
