Euforia Bola 2026
Inspirasi

Dua Beradik Malaysia Diiktiraf Dalam Forbes 30 Under 30 Asia, Bina Jenama Kasut Tempatan ‘Machino’

Forbes 30 Under 30 Asia

Apa yang bermula sebagai sebuah perniagaan kecil ketika pandemik COVID-19, kini berkembang menjadi kisah kejayaan yang membanggakan negara apabila dua beradik ini berjaya tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia bagi tahun 2026.

Pengasas jenama kasut tempatan Machino, Esther Tai Shen Hui dan Amy Tai Shuh Yuk, menerima pengiktirafan berprestij itu selepas berjaya membina sebuah jenama fesyen yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia dan luar negara.

Baca juga: “Juara Dunia Tapi Tak Lupa Solat”- Sikap Hakim Danish Ramli Buat Ramai Kagum, Wajar Jadi Idola Anak Muda

DUA BERADIK HARUMKAN NAMA MALAYSIA, TERSENARAI DALAM FORBES 30 UNDER 30 ASIA CLASS OF 2026

Forbes 30 Under 30 Asia

Gambar BERNAMA: Esther Tai Shen Hui (kanan) bersama adiknya, Amy Tai Shuh Yuk, pengasas bersama jenama kasut Machino.

Bagi yang tidak mengetahui, Forbes 30 Under 30 merupakan senarai tahunan yang diterbitkan oleh Forbes bagi mengiktiraf individu berusia bawah 30 tahun yang memberi impak besar dalam bidang masing-masing menerusi inovasi, kreativiti dan pencapaian luar biasa.

Bermula dengan idea kasut yang selesa dipakai

Menurut Esther, idea menubuhkan Machino tercetus daripada keinginan menghasilkan kasut wanita yang bukan sahaja cantik dipandang tetapi juga selesa digunakan sepanjang hari.

Dengan bantuan bapa saudara yang mengusahakan kilang kasut, mereka mula menghasilkan kasut bertumit dan kasut rata yang memberi penekanan kepada aspek keselesaan pengguna.

Keunikan itu akhirnya menjadi antara faktor yang membantu Machino membina kelompok pelanggan setia dan berkembang menjadi jenama yang dikenali ramai.

Machino dipilih dalam kategori runcit dan e-dagang selepas berjaya menggabungkan elemen fesyen moden, keselesaan serta identiti budaya Malaysia dalam produk mereka.

Apa yang menarik, kebanyakan produk Machino dihasilkan secara buatan tangan dan diinspirasikan daripada kepelbagaian budaya tempatan seperti batik, songket serta elemen warisan Asia yang lain.

Hari ini, Machino bukan sahaja beroperasi secara dalam talian malah mempunyai premis fizikal di Putrajaya dan Selangor, selain mula menembusi pasaran antarabangsa termasuk Singapura.

Baca juga: Anak Malaysia Dipilih Berucap Wakili Graduan Di Amerika Syarikat, Ucapan Buat Ibu Bapa Ini Buat Ramai Sebak

Nama Machino ada maksud tersendiri

Ramai mungkin tidak tahu bahawa nama Machino sebenarnya membawa simbolik kepada kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Menurut Esther, “MA” merujuk kepada Melayu, “CH” kepada Cina, “IN” kepada India manakala huruf “O” mewakili lain-lain kaum yang bersama-sama membentuk identiti negara.

Falsafah itu turut diterjemahkan dalam pelbagai rekaan kasut dan aksesori mereka yang mengangkat unsur budaya tempatan.

Bukti jenama tempatan mampu pergi jauh

Pengiktirafan dalam Forbes 30 Under 30 Asia bukan sahaja menjadi pencapaian besar buat Esther dan Amy, malah membuktikan jenama tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Lebih membanggakan, pemilihan Forbes tahun ini dibuat daripada hampir 4,000 pencalonan merangkumi 18 negara dan wilayah Asia Pasifik.

Kisah dua beradik ini menjadi bukti bahawa idea yang bermula secara sederhana ketika pandemik boleh berkembang menjadi sebuah jenama yang diiktiraf dunia apabila disokong oleh usaha berterusan, inovasi dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Sumber: Berita Harian

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×