Euforia Bola 2026
Famili

Perkelahan Riang Keluarga Bertukar Tragedi, Dua Beradik Lemas Ketika Mandi Pantai Di Terengganu

pantai sura tengah

Aktiviti perkelahan riang sebuah keluarga di hari pertama tahun 2026 di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi pantai, kira-kira jam 10.27 pagi Khamis.

Kejadian ini sudah semestinya mengejutkan dan meruntun hati orang ramai terutamanya yang berada di lokasi yang sama semasa kejadian berlaku.

Baca juga: “Setiap Kali Lalu Mereka Tunggu & Tabik”- Dua Beradik Ini Berjaya Buat Abang Polis Trafik ‘Cair’, Dapat Salam!

TRAGEDI TAHUN BAHARU PANTAI SURA TENGAH, DUA BERADIK LEMAS DIHANYUT OMBAK

pantai sura tengah

Menurut laporan Harian Metro, kedua-dua mangsa, Nor Baizura Shafie, 39 tahun, dan adiknya Mohd Fazir Shafie, 37 tahun, berasal dari Kampung Paya Balai Besar. Menurut saksi, insiden berlaku sewaktu keluarga yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang menikmati perkelahan di tepi pantai.

“Nor Baizura dipercayai dihanyutkan ombak ketika mandi, manakala adiknya cuba menyelamatkan tetapi turut terperangkap arus kuat,” kata Superintenden Maizura Abdul Kadir, Ketua Polis Daerah Dungun.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Samsuddin, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi dan terus mengerahkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

MAYAT KAKAK DITEMUI, ADIK MASIH HILANG

pantai sura tengah

Foto: JBPM

“Setibanya pasukan, kami segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat walaupun berdepan ombak besar dan arus laut kuat. Mayat seorang mangsa wanita berjaya ditemui kira-kira 25 minit kemudian dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” jelas beliau.

Operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir Shafie diteruskan menggunakan bot, sambil menelusuri pesisir pantai dengan bantuan anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat Nor Baizura telah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. Sementara itu, pencarian adiknya masih giat dijalankan bagi memastikan nasib Mohd Fazir dapat diketahui secepat mungkin.

Tragedi ini menjadi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika mandi di laut, terutama di kawasan yang berombak kuat, serta pentingnya pengawasan rapi terhadap ahli keluarga.

*Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

Baca juga: Dua Kanak-Kanak Hilang Ditemui Selamat Dalam Keadaan Sejuk, Dakwa Ada ‘Kakak’ Bawa Mereka Bersiar

Sumber: Harian Metro, Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×