Situasi sedih bertukar tegang, itulah yang berlaku apabila dua beradik bergaduh di wad hospital ketika bapa mereka sedang nazak. Insiden itu bukan saja mengejutkan ahli keluarga lain, malah kini membawa mereka ke muka pengadilan.
Nampaknya pergaduhan tersebut sangat serius sehingga telah didakwa, apakah puncanya?
Dua Beradik Bergaduh Di Wad Hospital Ketika Bapa Nazak, Berdepan Hukuman Penjara

Foto: Sinar Harian
Tindakan dua beradik yang bergaduh di wad hospital ketika bapa mereka sedang nazak akhirnya membawa padah apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka semalama, 17 April 2025.
Kedua-dua tertuduh, Normala Othman, 47, dan Julaiha Othman, 45, didakwa atas pertuduhan menyebabkan kekacauan awam di dalam wad Hospital Melaka ketika menjaga bapa mereka yang berada dalam keadaan kritikal pada Januari lalu. Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan perbuatan gaduh gempar di tempat awam, iaitu di Wad 42, Katil 2A, Hospital Melaka, sekitar jam 2.30 petang pada 19 Januari 2025.
Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
GADUH SEBAB NAK TENTUKAN LOKASI KEBUMI AYAH

Foto hiasan.
Difahamkan, pergaduhan antara dua beradik tersebut berpunca daripada salah faham berkaitan urusan persiapan lokasi pengebumian bapa mereka, yang disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Menurut laporan Sinar Harian, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar mahkamah memberikan jaminan rendah memandangkan anak guamnya masing-masing mempunyai tanggungan, termasuk ibu yang sakit, anak kurang upaya mental dan anak-anak kecil.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 setiap seorang, dan menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen serta pelantikan peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.
*Memang riuh betul rasanya situasi pergaduhan itu sampai orang pun boleh buat report. Jangan jadikan contoh ya, adik-beradik sepatutnya bermaaf-maafan antara satu sama lain…
Baca juga: Ketua Keluarga Wajib Sediakan Satu Fail Faraid Lengkap Dengan 7 Dokumen Ini, Senang!
Sumber: Sinar Harian
