Bulan Ramadan bukan sekadar medan meningkatkan ibadah peribadi, malah menjadi ruang terbaik untuk ibu bapa memperbanyak doa lembutkan hati anak.
Menurut perkongsian Ustaz Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz, doa untuk anak wajar diberi keutamaan, bukan kerana anak-anak itu tidak baik, tetapi kerana hati manusia sentiasa terdedah kepada ujian dan cabaran kehidupan.
Baca juga: Nama Nabi Muhammad SAW Ungguli Carta Carian ‘Manusia Terbaik Dunia’ Di Google
DOA LEMBUTKAN HATI ANAK BOLEH BACA KETIKA BULAN RAMADAN

“Sebagai ibu bapa, kita sering memohon agar anak tidak menjadi keras hati dan degil. Bukan kerana mereka buruk akhlaknya, tetapi kerana kita sedar perjalanan hidup boleh membuatkan seseorang hanyut tanpa disedari,” jelas beliau.
Menurutnya, harapan terbesar ibu bapa adalah agar anak-anak mampu menjalani kehidupan dunia dengan iman yang kukuh, menjadi insan yang menjaga diri serta memberi manfaat kepada orang sekeliling, walaupun suatu hari nanti ibu bapa sudah tiada.
Dalam perkongsian tersebut, Ustaz Mohammad Asraff turut mengimbau satu amalan yang diajarkan oleh tok guru beliau, iaitu menjadikan satu ayat al-Quran sebagai doa untuk melembutkan hati anak-anak.
Ayat tersebut ialah:
اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
Maksudnya: “Allah Maha Lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah Asy-Syūrā, ayat 19)

Ayat ini, menurut beliau, sangat halus dan lembut maknanya untuk diniatkan sebagai doa, agar Allah melembutkan hati anak-anak, menenangkan jiwa mereka serta membimbing langkah mereka ke arah kebaikan.
Beliau berharap agar amalan doa yang dilakukan secara konsisten oleh ibu bapa ini menjadi seperti air yang menyuburkan dan melembutkan hati anak-anak, sekali gus membantu mereka membesar sebagai insan beriman dan berakhlak mulia.
Ramadan adalah masa paling sesuai untuk ibu bapa berdoa bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi sebagai bekalan akhirat buat anak-anak yang menjadi amanah terbesar dalam kehidupan.
Semoga artikel ini memberi manfaat dan jangan lupa amalkan ya!
Baca juga: Jadual Penuh Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa 1447H/2026M Untuk Rujukan Semua
