Dalam kehidupan, kita sering bertemu dengan insan yang sudi menghulurkan kebaikan, sama ada belanja makan, bentuk bantuan, nasihat atau sokongan moral.
Selain membalas kebaikan orang lain dengan perbuatan yang sama, kita juga digalakkan untuk mengamalkan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang sesama manusia.
Baca juga: Ustaz Azhar Idrus Kupas Hukum Putuskan Hubungan Kerana Dikhianati, Boleh Atau Sebaliknya?
BILA ORANG BELANJA MAKAN, BALAS DENGAN DOA INI

Doa ini sangat ringkas, namun besar maknanya dan penuh dengan keberkatan. Ia boleh dibaca setiap kali seseorang melakukan kebaikan kepada kita sama ada memberi hadiah, menolong kita dalam kesusahan atau menggembirakan hati kita walau dengan sekecil-kecil perkara.
Berikut adalah doanya:
اللهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي وأسْقِ مَنْ أسْقَانِي
Allahumma ath’im man ath’amanii wa asqi man asqaanii
Maksudnya: “Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan dan berilah minum orang yang memberiku minum.”
Lebih baik lagi jika dibaca setiap hari, terutama dalam solat. Doa ini lebih menyeluruh merangkumi sesiapa sahaja yang pernah memberi atau membelanja kita, walaupun hanya sekali seumur hidup.
Kalau kita ingin membalas kebaikan mereka dengan perbuatan yang sama, mungkin rezeki anda sendiri pun sekadar cukup-cukup.
Maka, mintalah kepada Allah agar Dia yang membalas kebaikan mereka kerana hanya Allah yang mampu memberi ganjaran berlipat kali ganda lebih besar daripada apa yang pernah mereka berikan kepada kita.
Mungkin pada suatu ketika, mereka sedang mengalami kesempitan rezeki. Namun, berkat doa kita, Allah membuka jalan rezeki bagi mereka.

Freepik
Oleh itu, kita serahkan segala urusan ini kepada Allah, kerana Dia Maha Mengetahui bila dan bagaimana waktu yang terbaik untuk membalas kebaikan mereka.
Perlu diingat juga bahawa tidak semua pemberi adalah orang yang berada. Ada yang memberi semata-mata kerana ingin menggembirakan kita, bersimpati, atau sekadar berbuat baik, walaupun mereka sendiri berada dalam keadaan serba kekurangan.
Justeru, balaslah kebaikan mereka dengan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Setiap kali kita mengamalkan doa yang Nabi SAW baca atau ajarkan, kita juga akan mendapat pahala kerana mengikuti sunnah baginda.
Oleh itu, amalkanlah doa ini secara konsisten dan jangan tinggalkan walau sehari pun.
Baca juga: Islam Larang Tidur Satu Selimut Walau Dengan Kawan & Keluarga, Rapat Tak Bermakna Bebas!
Sumber: Facebook
