Musim peperiksaan besar seperti SPM dan UPKK 2025 kini bermula, dan debarannya bukan sahaja dirasai oleh para pelajar, malah ibu ayah yang setia mendoakan kejayaan mereka. Dalam tempoh penuh tekanan ini, ramai mencari ketenangan hati dan salah satu amalan adalah baca doa asmaul husna.
Berikut ialah himpunan doa ringkas tetapi sangat besar maknanya dari Ustazah Asma Harun, khusus untuk anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan.
Baca juga: Rahsia Genggam 9A UPKK 2025, Ustazah Bonda Kongsi Strategi Murid Tahun 5 Boleh Mula Sekarang!
Senarai Doa Asmaul Husna Untuk Anak-Anak Menghadapi Peperiksaan

Foto: Rumaysho.com
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَلِلّٰهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan bagi Allah nama-nama yang indah, maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.”- (Surah al-A‘raf: 180)
Bismillahirrahmanirrahim…
1. Ya Alim, Ya Hakim, Ya Rashid
Wahai Tuhan yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Menunjukkan jalan yang lurus.
Kurniakanlah kepada anak-anak kami kefahaman dalam ilmu, kebijaksanaan menjawab soalan dan kecerdasan menyelesaikan setiap kertas ujian mengikut waktunya.
2. Ya Basit
Lapangkanlah dada mereka, Ya Allah.
Permudahkan mereka memahami setiap soalan dan hilangkan kekeliruan.
3. Ya Salam, Ya Mu’min
Berikan ketenangan, kesihatan dan kesejahteraan sepanjang tempoh peperiksaan.
4. Ya Mani’
Peliharalah mereka daripada rasa lupa, cuai, was-was, gelisah dan takut yang melampau.
5. Ya Aziz, Ya Qowiy, Ya Matin
Kurniakan kekuatan jasad, minda, mata dan jiwa untuk menghadapi setiap cabaran.
6. Ya Quddus, Ya Jalil
Sucikan hati dan fikiran mereka daripada bisikan yang merosakkan semangat.
7. Ya Fattah
Bukakan pintu kefahaman, ilham, serta jalan kepada jawapan yang tepat.
8. Ya Hadi
Pimpinlah mereka ke arah pilihan jawapan yang benar dan jauhkan daripada kekeliruan.
9. Ya Kafi
Cukupkanlah mereka dengan bantuan, rahmat dan ilham daripada-Mu.
10. Ya Sabur
Turunkan kesabaran, fokus, ketenangan dan kestabilan jiwa agar mereka tidak panik atau hilang tumpuan.
Doa-Doa Daripada Nabi SAW Untuk Menambah Kekuatan
Selain Asmaul Husna, ini antara doa yang diajarkan Rasulullah SAW dan boleh diamalkan oleh pelajar serta ibu ayah:
1. Doa Nabi SAW kepada Ibn Abbas r.a.
اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
“Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarkanlah tafsiran al-Quran.”- (HR Ahmad – Sahih)
2. Doa memohon hikmah
اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ
“Ya Allah, ajarkanlah kepadanya hikmah kebijaksanaan.”- (HR al-Bukhari)
3. Doa memohon petunjuk dan perlindungan
(Doa ini menjadi amalan ramai sejak zaman belajar dan masih relevan hingga hari ini.)
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
“Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku petunjuk yang benar dan lindungilah aku daripada kejahatan diriku.”- (HR Tirmizi – Hasan)
4. Doa Tulus Seorang Ibu Ayah
Ya Allah, Engkau Maha Mendengar rintihan kami.
Kami telah berusaha, mengajar, membimbing dan memberi sehabis baik. Kini kami serahkan sepenuhnya kepada-Mu.
Permudahkanlah.
Tenangkanlah.
Cemerlangkanlah.

Foto: Free Malaysia Today
Semoga semua calon SPM & UPKK 2025 dipermudahkan urusan, diberi ketenangan hati dan mendapat keputusan yang terbaik. Selamat berjuang anak-anak!
Baca juga: Permohonan Pengawas STPM 2025 Dibuka! Ini Syarat, Tarikh & Cara Mohon…Elaun Menarik Menanti!
Sumber: (Foto PA&MA) Ustazah Asma’ Harun
