Seorang ibu tidak pernah menyangka bahawa demam biasa yang dialami anaknya bakal menjadi detik terakhir mereka bersama apabila diduga dengan jangkitan kuman dalam darah.
Hanya dengan beberapa hari yang singkat, segalanya berubah, meninggalkan luka yang tidak akan pernah terpadam dalam ingatan…
Baca juga: Cuci Ayam Tak Bersih, Anak Cedera & Peti Ais Pecah..Ibu Luah Rasa Geram Ada Bibik Tak Boleh Pakai!
DISANGKA ANAK HANYA DEMAM BIASA, JANGKITAN KUMAN DALAM DARAH YANG ‘RAGUT’ NYAWA

Menurut kisah ibu ini, sehari sebelum anak kecil itu jatuh sakit, ibu masih sempat merakam gelagat si manja yang ketawa riang. Ketawa yang begitu ikhlas, paling besar dan paling bahagia pernah didengarnya. Seolah-olah ada isyarat yang tidak terungkap, bahawa itulah tawa terakhir sebelum segalanya menjadi sepi.
Keesokan hari, anaknya mula demam. Seperti kebiasaan, si ibu tidak panik kerana menyangka anak biasanya akan sembuh dalam satu dua hari. Namun kali ini lain apabila anaknya kelihatan sangat lemah. Firasat seorang ibu membuatkan beliau segera membawa anaknya ke hospital.
DEGUPAN JANTUNG ANAK TERLALU LAJU, 180 DENYUTAN SEMINIT!

Hari pertama ditahan, doktor mengesan jangkitan kuman dalam darah serta masalah pada paru-paru. Degupan jantung anak itu terlalu laju – 180 denyutan seminit. Malam itu juga, si kecil dipindahkan ke hospital lain kerana fungsi paru-parunya semakin merosot.
Di zon merah, keadaan semakin kritikal. Oksigen dalam tubuhnya jatuh sehingga hanya 40 dan doktor serta jururawat berusaha sehabis baik untuk menukar mesin pernafasan, menaikkan dos bantuan, dan mencuba pelbagai cara untuk menstabilkan keadaan. Namun, tubuh kecil itu semakin lemah.
Saat paling menyayat hati ialah ketika doktor mengambil keputusan untuk melakukan intubasi. Ibu masih ingat jelas bagaimana air keruh memancut keluar dari mulut anaknya, tanda bahawa paru-parunya penuh dengan jangkitan. Hatinya merintih, tetapi dia cuba kuatkan diri, berharap anaknya akan sembuh.
Namun takdir Allah terlebih dahulu menjemput. Selepas intubasi dilakukan, jantung kecil itu terhenti. 14 minit yang terasa seperti seabad, para doktor cuba sedaya upaya menyelamatkan namun akhirnya, anak kecil berusia 3 tahun 8 bulan itu pergi meninggalkan dunia pada 3 Julai 2025.
“Ketawa terakhirmu masih jelas di telinga ummi. Mungkin saat itu adik sudah nampak taman syurga yang Allah sediakan,” luah si ibu dengan sebak.
Pemergian anak yang terlalu cepat ini menjadi ingatan bahawa nyawa itu milik Allah, dan setiap detik bersama orang tersayang adalah pinjaman berharga yang tidak boleh dipandang ringan.
Tidak ada yang lebih pedih daripada kehilangan anak dalam sekelip mata. Namun, seorang ibu tetap tabah menerima qada dan qadar. Dalam setiap tangisan, terselit doa agar anak kecilnya kini tenang di syurga, menanti untuk kembali bertemu di alam abadi.
@ruma.unnie Hari ke 60. Adikk…ummi rindu 😭😭😭 #anaksyurga #anaksyurgaummidaddy ♬ original sound – thezaidizek – TheZaidiZek
Baca juga: Budak 7 Tahun Terketar-Ketar Ditinggalkan Bapa Tepi Lebuh Raya, Hukuman Sebab Bergaduh Dengan Abang
Sumber: Tiktok @ruma.unnie
