Aktiviti mengemis di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur terus menjadi perhatian apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan Operasi Banteras Pengemis melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan baru-baru ini.
Operasi Bersepadu Banteras Pengemis itu dijalankan pada 16 Julai 2026 bermula jam 8 malam di beberapa lokasi tumpuan orang ramai termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Alor dan Leboh Pudu.
BANTERAS PENGEMIS DI IBU KOTA, 25 INDIVIDU DITAHAN

Menerusi operasi berkenaan, seramai 25 individu telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Daripada jumlah itu, 13 individu merupakan warganegara manakala 12 lagi adalah bukan warganegara.
Lima individu turut diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut, iaitu dua individu kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tiga individu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Operasi tersebut turut mendapat perhatian selepas beberapa kejadian berkaitan aktiviti meminta sedekah di kawasan berkenaan tular di media sosial, termasuk dakwaan melibatkan sekumpulan individu asing yang dilihat menggunakan stroller ketika berada di kawasan tumpuan.
“Hasil operasi, seramai 25 individu telah diambil tindakan, terdiri daripada 13 warganegara dan 12 bukan warganegara. Daripada jumlah tersebut, 5 individu telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut, melibatkan 2 individu kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 3 individu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil adalah berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan pihak berkuasa sepanjang operasi dijalankan.
Operasi Bersepadu Banteras Pengemis ini melibatkan kerjasama antara DBKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
DBKL memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti mengemis selain memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan warga kota terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas berkaitan perkara itu boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL.
Baca juga: Dakwa Anak Disihir Kerana Cemerlang Di Sekolah, Ibu Syak Mak Rakan Sekelas Sendiri Yang ‘Hantar’
