Menerusi laman Facebook milik seorang ayah dikenali Mohd Ezzaidy, dia berkongsi satu pengalaman cuaca panas yang dialami ketika menunaikan ibadah Haji tahun lepas.
Difahamkan, dia dan isterinya menunaikan Haji bersama anak kecil namun satu perkara tidak diingini berlaku sehingga hampir meragut nyawa.
Baca juga: Koperal Amiruddin & Isteri Tunggu 10 Tahun Timang Anak Perempuan, “Tapi Dia Sudah Tiada”
CUACA PANAS KETIKA HAJI NYARIS RAGUT NYAWA ANAK

Menurutnya, cuaca panas di sana hampir meragut nyawa anak lelakinya, Hadid kerana dia mengalami demam panas yang agak teruk.
Pelbagai jenis ubat sudah diberikan namun demam panasnya masih lagi tidak kebah. Hadid juga dikatakan lebih banyak tidur dan berdiam diri sahaja.
Panas yang meragut nyawa! Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah satu kejadian ajaib yang berlaku pada diri sendiri. Mungkin bagi anda perkara ini biasa, tetapi bagi saya yang iman senipis kulit bawang, ini adalah satu keajaiban.
Tahun lepas, sebelum kami tiba di Arafah, Hadid sudah mula demam. Demam yang sangat panas (bacaan suhu ketika itu saya tidak ingat berapa). Ketika itu, dia sudah mula “shutdown” — diam seribu bahasa, banyak tidur.
Kami sudah beri ubat, sudah basahkan celah-celah badan dengan air (tetapi tidak dapat buat banyak kerana air pun panas). Bayangkan suhu ketika itu, paling tinggi dalam sejarah jika tidak silap saya, sekitar 52–53 darjah Celsius.
Itulah kali pertama saya rasa panas yang paling panas dalam hidup saya. Ketika itu, saya berdoa kepada Allah minta angin supaya sejukkan sedikit. Allah makbulkan, angin pun datang, cumanya angin itu juga panas! Allahuakbar. hebatnya Allah.
Setibanya di hotel, badan Hadid masih terlalu panas. Saya mula gelabah. Saya ambil wuduk dan duduk seketika. Lalu saya WhatsApp sahabat saya (seorang ustaz), bertanya apakah amalan yang perlu saya lakukan untuk meredakan panas Hadid.
Ustaz pun berikan saya satu amalan (seperti dalam gambar). Saya berikan amalan itu kepada isteri kerana dialah yang menjaga Hadid. (Memang kasih ibu itu tidak dapat dijual beli, dan untuk membalasnya pun saya takkan mampu. Terima kasih kepada isteri saya kerana menjaga Hadid sepenuh jiwa dan raganya.)

Sesungguhnya, Allah yang memberi kesembuhan. Selepas diamalkan oleh isteri saya, alhamdulillah suhu Hadid semakin menurun.
Kepada anda yang mempunyai ibu, ayah atau keluarga yang akan menunaikan haji, bolehlah kongsikan penulisan ini kepada mereka. Di sana, demam dan batuk boleh dikatakan sesuatu yang “wajib” dialami, cuma yang merisaukan adalah apabila terlalu teruk.
Bila Hadid sudah mula “buat perangai”, baru hati rasa sedikit lega. Ubat adalah asbab dan ikhtiar yang menyembuhkan hanyalah Allah SWT.
Anda juga boleh amalkan doa ini di rumah dan lebih baik menggunakan air zamzam. Jangan lupa untuk letakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Tip tambahan:
– Untuk doa Nabi Ibrahim AS, gunakan air Zamzam, in syaa Allah.
– Sapukan pada pelipat atau celah-celah badan setiap 10–15 minit.
Baca juga: Tragedi 1990 Berulang, 9 Anggota FRU Maut Dalam Kemalangan, Malaysia Berduka Hilang Wira Negara…
Sumber: Facebook Mohd Ezzaidy
