Perubatan Islam merupakan satu bentuk ikhtiar yang berlandaskan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, bertujuan memelihara akidah serta kesejahteraan jasmani dan rohani. Justeru, memahami ciri-ciri perubatan Islam yang sahih amat penting agar umat Islam tidak terjerumus ke dalam amalan khurafat atau syirik yang dilarang syarak.
Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, meminta bantuan bomoh atau tukang sihir untuk tujuan sihir atau perubatan adalah dilarang kerana ia menafikan keesaan Allah SWT
CIRI-CIRI PERUBATAN ISLAM YANG SAHIH, JANGAN SYIRIK

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia mempercayai kata-katanya, maka sungguh ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Riwayat Ahmad, 9171)
Selain itu, Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya untuk menjauhi dosa besar termasuk syirik dan sihir:
“Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan… termasuk menyekutukan Allah dan sihir.” (Sahih Bukhari, 2766)
Justeru, apabila menghadapi masalah seperti sihir, saka, atau gangguan ghaib, Islam menekankan rawatan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah, bukannya bergantung kepada bomoh atau tukang sihir.
Berikut merupakan ciri-ciri rawatan Islam:
– Ayat-ayat rawatan berlandaskan al-Quran dan hadith, serta doa-doa yang difahami maknanya dan jelas sebutannya. Begitu juga, tidak menambah atau mengurangkan ayat al-Quran dan menterbalikkan susunan ayat al-Quran.
– Bahan rawatan: air, herba (limau, habbatulsauda’, zaitun), madu, garam dan bahan-bahan yang suci menurut syarak.
– Tidak menggunakan bahan seperti: darah, bangkai, khinzir, anjing, arak, tanah kubur, kain kapan, pakaian harian, kemenyan, senjata lama (keris, pedang dan seumpamanya), tulang-belulang, rambut, minyak dagu/pengasih/senyonyong/cenuai dan nasi tangas.
– Tidak merawat dalam bilik yang gelap.
– Tidak menjalankan pembedahan batin secara ghaib atau menggunakan bantuan makhluk halus.
Terdapat beberapa etika sama ada sebelum, semasa atau selepas merawat antaranya:
Sebelum merawat
– Memohon izin kepada pesakit sebelum merawat.
– Memastikan waris pesakit bersama pesakit semasa sesi rawatan (jika berlainan jantina).
– Memastikan pesakit memakai pakaian yang menutup aurat.
– Memberi penerangan yang jelas kepada pesakit (punca, kaedah rawatan dan kos).

Semasa merawat
– Memulakan sesi rawatan dengan bacaan doa atau ayat -ayat al-Quran dengan jelas.
– Perlu menjaga aurat pesakit semasa rawatan dengan kadar yang munasabah.
– Tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa mendapat keizinan pesakit.
Selepas merawat
– Tidak dibekalkan dengan azimat, tangkal, susuk dan seumpamanya.
– Memberi nasihat kepada pesakit setelah selesai rawatan mengikut jenis rawatan yang diterima.
Islam jelas menegaskan bahawa mengambil jalan syirik melalui bomoh atau tukang sihir akan mendatangkan mudarat kepada pelakunya. Oleh itu, jika menghadapi gangguan ghaib atau masalah spiritual, rujuklah pakar perubatan Islam yang sahih dan amalkan rawatan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik dan memberi kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya, serta melindungi kita daripada segala bentuk perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
Baca juga: Rupanya Ada 3 Jenis Solat Makmum Tak Boleh Ikut Imam, Jangan Sampai Solat Jadi TAK Sah!
Sumber: Dr. Zulkifli Al-Bakri
