Bercuti bersama anak kecil bukan sekadar satu percutian tetapi ia adalah satu pengembaraan yang penuh warna-warni.
Dari bunyi gelak tawa mereka bila nampak laut buat pertama kali, sehinggalah ke drama kecil bila mainan kegemaran tertinggal di rumah, semuanya jadi kenangan yang akan kita ingat sampai bila-bila.

Sumber gambar: Freepik
Tapi, di sebalik semua momen manis itu, mak ayah juga tahu betapa pentingnya persiapan yang rapi sebelum bawa si kecil berjalan jauh.
Jadi, untuk pastikan percutian berjalan lancar dan hati semua orang tenang, ini dia checklist travel yang wajib mak ayah semak sebelum melangkah keluar dari rumah.
1. Pakaian dan aksesori
Pakaian anak kena cukup, bukan ikut bilangan hari saja, tapi lebih satu atau dua helai untuk kes kecemasan. Kadang baju basah sebab tumpah makanan, kadang berpeluh sebab cuaca panas.
Jangan lupa baju tidur yang selesa, supaya anak tidur lena walaupun berada di tempat baru. Kalau destinasi sejuk seperti Cameron Highlands atau tempat ber-aircond kuat, jaket atau sweater sangat diperlukan.
Aksesori lain seperti topi, tudung atau cap penting juga untuk lindung anak dari panas atau angin. Kasut yang selesa dan stokin pula penting supaya anak bebas bergerak dan tak cepat meragam. Tip berguna: pilih baju jenis ringan dan cepat kering, senang nak cuci dan ulang pakai kalau perlu.

Sumber gambar: Freepik
2. Keperluan mandian dan kebersihan
Barang mandian anak bukan saja untuk kebersihan, tapi juga untuk keselesaan kulit mereka. Bawa sabun dan syampu yang sesuai dengan kulit anak, serta tuala kecil dan besar.
Jangan lupa berus gigi dan ubat gigi yang sesuai dengan umur mereka. Walaupun cuti, kebersihan mulut kena jaga!
Wet wipes dan tisu kering pula wajib bawa banyak. Wipes bukan saja untuk bersihkan tangan, tapi juga untuk tukar lampin dan bersihkan permukaan. Hand sanitizer pun penting, terutamanya bila travel jauh atau singgah tempat ramai orang. Bawa juga plastik kecil, senang untuk simpan lampin terpakai, baju yang kotor atau basah.
3. Makanan dan minuman
Bahagian ni sangat penting, sebab anak cepat lapar dan tak semua tempat sesuai untuk makanan baby. Jadi, pastikan susu formula (atau EBM) cukup, siap dengan botol susu dan termos air panas.
Bawa juga bekas makanan dan sudu khas untuk anak, serta snek kegemaran seperti biskut, buah potong atau puri dalam pek mudah bawa.
Air masak juga wajib ada, boleh guna tumbler khas anak supaya mudah dia pegang sendiri. Sediakan ‘snack box’ dalam beg tangan, ini tips emas untuk elak anak meragam bila lapar dalam kereta atau flight.

Sumber gambar: Freepik
4. Lampin dan keperluan menukar
Kalau anak masih pakai lampin, pastikan jumlah yang dibawa cukup dan sebaiknya lebih dari hari sebenar. Siap sedia juga alas menukar lampin, sangat berguna di tempat awam yang tidak sediakan kemudahan khas untuk bayi.
Krim ruam dan wet wipes jangan tertinggal, sebab kulit anak mudah sensitif bila travel. Dan satu lagi, masukkan satu set baju salin dalam beg tangan. Bila ada ‘kemalangan kecil’, tidak perlu selongkar beg besar tengah-tengah ramai orang.
5. Set perubatan mini
Anak demam masa travel? Panik kalau tak sediakan awal-awal. Jadi, penting sangat untuk bawa ubat demam, batuk dan selsema yang sesuai dengan umur mereka.
Termometer wajib ada, begitu juga minyak telon atau minyak angin baby, sesuai kalau anak kembung atau perut masuk angin.
Gunting kuku pun elok dibawa, sebab kadang-kadang kuku anak panjang dan boleh tercakar diri sendiri. Simpan semua ni dalam satu pouch kecil dan letak dalam beg tangan. Bila perlu, terus capai tanpa drama.

Sumber: Greenwork
6. Comfort item dan barang tidur
Tempat tidur asing boleh buat anak susah nak lelap. Jadi, bawa bantal atau selimut kecil kegemaran mereka.
Ada anak yang tidak boleh tidur tanpa mainan kesayangan. Buku cerita juga boleh bantu tenangkan anak sebelum tidur sambil bonding time dengan mak ayah.
7. Mainan dan hiburan
Anak kecil cepat bosan, jadi kena ada hiburan mudah sepanjang perjalanan. Bawa mainan kecil yang tidak berbunyi bising, buku mewarna, buku sticker atau flashcards.
Kalau ada tablet, jangan lupa headphone dan muat turun kartun siap-siap kerana kadang-kadang internet tidak stabil. Hiburan kecil ini nampak remeh, tapi sangat membantu elak tantrum, terutamanya masa menunggu di airport atau dalam kereta lama.

Sumber gambar: Freepik
8. Stroller dan baby carrier
Tak semua tempat sesuai untuk stroller. Jadi, kalau boleh bawa dua-dua. Pilih stroller jenis travel-friendly yang ringan, mudah lipat dan tahan lasak.
Baby carrier pula sesuai untuk tempat sesak, kawasan outdoor atau bila anak malas berjalan. Kalau naik flight, pastikan stroller boleh bawa sampai ke pintu kapal, jimat tenaga dan anak pun boleh tidur sebelum boarding.
Travel dengan anak bukan sekadar bawa mereka jalan-jalan, tetapi pengalaman yang penuh kenangan untuk semua.
Bila cukup persediaan, anak gembira dan mak ayah pun tidak stres. Checklist ini boleh dijadikan rujukan setiap kali nak bercuti.
