Bagi ramai orang, mengurus jenazah wanita biasanya difokuskan kepada mandian dan kafan sahaja. Namun, cara urus rambut panjang jenazah wanita juga ada sunnahnya yang patut diketahui.
Amalan ini bukan wajib, tetapi termasuk dalam adab dan ihsan ketika mengurus jenazah, terutamanya bagi jenazah yang berambut panjang, supaya rambut tetap kemas dan aurat terjaga.
CARA URUS RAMBUT PANJANG JENAZAH WANITA

Gambar Threads @khailyana_
Sebagaimana hantaran yang dibuat oleh beberapa individu di media sosial, tentang pengetahuan baru mereka mengenai rambut jenazah wanita yang boleh dianyam.
Antaranya, hantaran di Facebook oleh Sha Ramson Abdullah menjelaskan,
“Saya baru tahu… ini antara amalan sunnah dalam menguruskan jenazah wanita yang berambut panjang. Bukan wajib tapi ini amalan sunnah. Terima kasih Ustaz atas perkongsian ilmu. Semoga Allah beri manfaat yang baik.”
Begitu juga di Threads @khailyana_ ,
“Sebelum ini saya pernah menguruskan 3 jenazah wanita. Tapi hari ini baru tahu, jika jenazah wanita rambutnya panjang, kita boleh anyam rambut jenazah tersebut. Biasanya dibahagikan tiga tocang dan diletakkan di belakang supaya kemas.”
Apabila ditanya mengenai posisi jenazah ketika proses anyaman, Khailyana menjelaskan jenazah diletakkan berbaring meniarap selepas dimandikan. Tujuan meniarap adalah supaya aurat jenazah lebih terjaga dan memudahkan proses menganyam rambut.
CARA ANYAMAN RAMBUT PANJANG JENAZAH WANITA
Sementara itu, hantaran Instagram oleh Ustaz Rafie Zainal dari Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menjelaskan secara terperinci cara urus rambut panjang jenazah wanita:
1. Dalil hadis sahih
Amalan ini bersandarkan kepada hadis Ummu ‘Atiyyah R.A ketika memandikan jenazah puteri Rasulullah SAW, Zainab r.a:
قَالَتۡ أُمُّ عَطِيَّةَ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهَا: فَضَفَرۡنَا شَعَرَهَا ثَلَاثَةَ قُرُونٖ، فَأَلۡقَيۡنَاهَا خَلۡفَهَا
“Kami menganyam rambutnya menjadi tiga bahagian, kemudian kami meletakkannya ke belakang.”
2. Maksud “Tiga Bahagian (ثلاثة قرون)”
Para ulama menjelaskan bahawa tiga bahagian bermaksud:
- Satu bahagian tengah (ubun-ubun)
- Satu bahagian kiri
- Satu bahagian kanan
Ini adalah bentuk pengurusan rambut jenazah yang paling kemas dan selari dengan syarah hadis oleh Imam al-Nawawi serta fuqaha Syafi‘iyyah. Dengan cara ini, rambut panjang jenazah terjaga dan tidak bersepah ketika dikafan.
3. Kedudukan hukum
Menurut jumhur ulama Mazhab Syafi‘i dan Hanbali, menganyam rambut jenazah wanita kepada tiga bahagian adalah sunnah (mustahabb). Tujuannya:
- Menjaga kekemasan rambut
- Mengelakkan rambut terurai ketika dikafan
- Memelihara maruah jenazah wanita
Bagi rambut pendek, cukup dengan dirapikan sahaja tanpa perlu dipaksa.

Gambar: Instagram @spjmalaysia
4. Cara melaksanakan anyaman rambut panjang
Secara praktikal, cara urus rambut panjang jenazah adalah:
- Sisir rambut dengan lembut
- Bahagikan rambut kepada tiga bahagian (kiri, tengah, kanan)
- Anyam setiap bahagian seperti tocang biasa
- Letakkan hasil anyaman ke belakang kepala jenazah
Ini selari dengan lafaz hadis: “فَأَلْقَيْنَاهَا خَلْفَهَا” (“kami meletakkannya ke belakang”).
5. Kedudukan rambut selepas dianyam
Sunnah diletakkan di belakang kepala atau badan jenazah. Beberapa pandangan lain membenarkan di dada, tetapi yang lebih tepat menurut sunnah ialah di belakang.
Teknik ini mengekalkan rambut panjang jenazah tetap kemas dan terurus sehingga selesai proses pengkafanan.
6. Peringatan penting
Amalan ini khusus untuk jenazah wanita. Bagi jenazah lelaki, tidak disunahkan anyaman dan rambut hanya dirapikan sahaja tanpa sebarang anyaman.
Kesimpulan
Menganyam rambut jenazah wanita kepada tiga bahagian adalah amalan sunnah yang sahih, berasaskan hadis Nabi SAW dan diamalkan para sahabat.
Ia menunjukkan adab, ihsan, dan penghormatan terakhir kepada si mati. Setiap helaian rambut yang diurus dengan penuh adab menjadi saksi bahawa kita menghormati mereka, walaupun mereka telah pergi.
Hari ini kita mengurus jenazah orang lain, esok mungkin kitalah yang akan diuruskan. Semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah dan insan amanah dalam menguruskan jasad kita nanti.
Baca juga: Tak Pasti Layak Solat Jamak & Qasar? Lelaki Ini Bangunkan ‘Kalkulator Musafir’ Untuk Bantu Semak!
Sumber: Facebook Sha Ramson Abdullah / Threads @khailyana_ / Instagram @spjmalaysia
FT Image: Instagram @spjmalaysia / jawi.gov
