Kini telah tiba masanya untuk orang ramai memulakan ‘misi’ pencarian lemang Raya sebagai juadah wajib ketika sambutan Syawal! Tetapi tidak semua yang dijual memenuhi standard keenakan yang diharapkan kerana ada yang kelihatan masak di luar tetapi masih mentah di dalam dan cepat basi. Jika tersalah pilih, bukan sahaja membazir wang, tetapi juga boleh merosakkan selera raya anda!
Oleh itu, sebelum membeli lemang di gerai, penting untuk mengetahui beberapa tips berguna agar anda tidak kecewa dengan kualiti yang diterima.
Baca juga: Tak Perlu Tunggu Raya Lagi, Ini Cara Sediakan Lemang Rice Cooker Semudah ABC
TIPS SEBELUM BERHENTI BELI & PILIH LEMANG RAYA DI GERAI SUPAYA TAK KECEWA

Foto hiasan.
Berikut adalah panduan yang boleh membantu anda memilih lemang yang betul-betul sedap, masak sempurna, dan tahan lama.
1. Pilih gerai yang banyak kayu untuk dibakar
Ini adalah petanda bahawa peniaga membakar lemang dan situ dan bukan sekadar ‘lakonan’ sahaja. Hal ini kerana, ada segelintir peniaga yang menipu pelanggan dengan menyusun lemang atas bara api walhal ia telah pun dikukus terlebih dahulu.
2. Pilih lemang bersaiz sederhana
Jangan pilih lemang yang terlalu besar kerana dikhuatiri ia tidak dimasak dengan sempurna pada bahagian dalam. Manakala, kalau lemang terlalu kecil, isi pulut boleh jadi agak keras, liat dan terlalu garing pula.
3. Belah bahagian bawah lemang
Penting untuk setelah memilih, anda perlu minta peniaga untuk membelah sedikit bahagian di bawah lemang untuk memastikan bahawa ia telah dimasak dengan sempurna. Kadang-kadang bahagian atas sahaja masak, tapi di bawah mentah!
4. Elakkan gerai yang menggunakan kayu palet
Ini merupakan tips yang ramai kurang tahu iaitu memastikan gerai yang menjual lemang tersebut tidak menggunakan kayu palet sebagai bahan bakar kerana khuatir lemang terdedah dengan bahan beracun. Ini kerana kayu palet selalunya akan disembur dengan ‘coating’ untuk elak dimakan anak-anak terlebih dahulu.
5. Pilih lemang yang kepala santannya kering
Semasa memilih, perhatikan bahagian atas lemang atau ‘kepala’ iaitu tempat pengumpulan lemak-lemak santan yang mendidih kerana dibakar. Cari bahagian kepala santan yang kering kerana ia menandakan lemang tersebut boleh bertahan lama sehingga dua hari.
6. Hidu dahulu sebelum beli
Dengan menghidu dahulu pun anda boleh kesan bahawa bahagian kepala santan sudah basi atau belum. Kebiasaannya, santan yang sudah basi atau disimpan lebih dua hari akan mengeluarkan bau masam atau tidak enak.
*Selamat membeli lemang yang sedap. Kalau rajin buat dan bakar sendiri lagi bagus!
Baca juga: Beza Buttercup Saiz Buku & Saiz Tong, Ibu-Ibu Yang Nak Buat Biskut Raya, Kena Tahu Perbezaan Ini
Sumber: Facebook Petua & Penawar
