Dalam Islam, ibadah korban bukan sekadar sembelih haiwan sempena Aidiladha, tetapi turut melibatkan adab dan hukum termasuk soal pembahagian daging korban. Disebabkan itu, penting untuk tahu bahagian mana boleh dimakan sendiri, mana perlu disedekahkan dan bagaimana cara yang paling digalakkan menurut syarak.
PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN YANG AFDAL

Gambar hiasan: Gemini AI
Hal ini kerana, masih ramai yang keliru sama ada daging korban wajib dibahagi tiga, bolehkah diberikan kepada jiran yang senang atau adakah tuan korban boleh mengambil sebahagian besar untuk keluarga sendiri.
Hakikatnya, Islam sudah memberikan panduan jelas mengenai perkara ini, malah terdapat cara pembahagian yang dianggap lebih afdal menurut pandangan ulama.
Ibadah korban sendiri merupakan syiar Islam yang disyariatkan kepada golongan berkemampuan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Ia berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Selain itu, amalan korban juga dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas RA bahawa Baginda melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing. Hadith riwayat al-Bukhari: (5233)
Hukum dan asas ibadah korban
Menurut mazhab Syafi’ie, hukum melaksanakan ibadah korban ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)
Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28)
Namun begitu, cara pengagihan daging korban perlu dilihat terlebih dahulu sama ada ia melibatkan:
- Korban sunat
- Korban nazar atau korban wajib
Perbezaan ini penting kerana hukum pengagihan daging bagi kedua-duanya tidak sama.

Gambar hiasan: Gemini AI
CARA PEMBAHAGIAN YANG AFDAL BAGI DAGING KORBAN
Jika haiwan yang disembelih merupakan korban sunat, terdapat beberapa kaedah pembahagian daging korban yang dibenarkan dan digalakkan.
1. Ambil 1/3 untuk diri sendiri, sedekah 2/3 kepada fakir miskin
- 1/3 daripada daging korban diambil untuk diri sendiri atau keluarga
- 2/3 lagi disedekahkan kepada golongan fakir miskin
Kaedah ini membolehkan individu yang melakukan korban turut merasa daging korban sambil memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan.
2. Bahagi kepada tiga bahagian
- 1/3 untuk diri sendiri
- 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
- 1/3 diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (saudara-mara, jiran atau kenalan)
Walau bagaimanapun, dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
3. Sedekahkan hampir semuanya, ambil sedikit untuk keberkatan
Inilah cara yang dianggap paling afdal menurut pandangan ulama. Seseorang yang melakukan korban digalakkan untuk:
- Menyedekahkan hampir keseluruhan daging korban
- Hanya mengambil sedikit untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan
Hal ini kerana, menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri.
Malah, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Pembahagian daging korban nazar
Namun, jika haiwan yang disembelih merupakan korban nazar atau korban wajib, hukumnya adalah berbeza. Bagi korban jenis ini:
- Kesemua daging wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin
- Tidak harus untuk dimakan oleh orang yang melakukan korban
Menurut penjelasan ulama, hukum ini terpakai kerana korban nazar dianggap sebagai suatu kewajipan yang telah ditetapkan ke atas diri seseorang.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, pembahagian daging korban bergantung kepada jenis korban yang dilakukan.
Jika ia korban sunat, seseorang boleh mengambil sedikit bahagian untuk diri sendiri namun lebih afdal jika memperbanyakkan sedekah. Sebaliknya, bagi korban nazar atau wajib, kesemua daging perlu diberikan kepada golongan fakir miskin tanpa diambil untuk kegunaan sendiri.
Aidiladha bukan sekadar tentang ibadah sembelihan, tetapi turut mengajar nilai berkongsi rezeki, keikhlasan dan kepedulian terhadap insan yang lebih memerlukan.
Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI
