Berita baik buat ibu bapa dan pelajar apabila MyRailLife akan diperluaskan mulai 1 Januari 2026 dengan melibatkan kanak-kanak seawal usia empat tahun, sekali gus memberi lebih ramai peluang menikmati perjalanan percuma menggunakan perkhidmatan kereta api KTM.
Menerusi pengumuman terbaharu, pas perjalanan percuma ini boleh didapati melalui aplikasi rasmi KTMB, KITS Style atau terus di kaunter stesen terpilih.
Baca juga: Panduan Lengkap Rayuan STR 2026 Secara Online & Manual, Kena Ada Dokumen Ini Untuk LULUS!
CARA MOHON PAS MyRailLife UNTUK BAWAH 19 TAHUN & OKU

Gambar: KTM Berhad
Inisiatif ini dilihat mampu membantu meringankan kos pengangkutan harian golongan kanak-kanak, pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Apa itu Pas MyRailLife?
Pas MyRailLife merupakan pas perjalanan percuma tanpa had yang ditawarkan kepada kumpulan sasaran tertentu bagi menggunakan perkhidmatan berikut:
- Shuttle Timuran (DMU)
- KTM Komuter sektor Lembah Klang
- KTM Komuter sektor Utara
Program ini diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan pelajar dan OKU di samping mengurangkan beban kewangan keluarga.
Laluan perjalanan MyRailLife
Pas MyRailLife boleh digunakan bagi perkhidmatan dan laluan berikut:
1. Shuttle Timuran (DMU):
- Gemas – Tumpat
2. KTM Komuter Sektor Lembah Klang:
- Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang
- Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves
3. KTM Komuter Sektor Utara:
- Padang Besar – Butterworth – Padang Besar
- Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas
Syarat kelayakan MyRailLife
Pas ini terbuka kepada golongan berikut:
- Warganegara Malaysia
- Kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun
- Pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tahun 6 (7–12 tahun)
- Pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 (13–19 tahun)
- Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Baca juga: Tutorial Lengkap Cara Guna Aplikasi MyGOV Untuk Semak STR & Bantuan Kewangan, Tak Payah Pening Dah!

Gambar: KTM Berhad
Syarat penggunaan pas
Penggunaan pas MyRailLife tertakluk kepada syarat berikut:
- Boleh digunakan dari mana-mana stesen permulaan ke mana-mana stesen destinasi dalam sektor perkhidmatan yang sama.
- Hanya sah digunakan oleh pemegang pas yang didaftarkan.
- Digunakan dalam tempoh sah laku yang tertera pada pas.
- Pas MyRailLife perlu ditunjukkan bersama MyKad atau MyKid semasa pemeriksaan oleh kakitangan KTMB.
Cara mendapatkan Pas MyRailLife
Terdapat beberapa kaedah untuk mendapatkan pas ini:
- Di kaunter tiket stesen KTM Komuter dan Shuttle Timuran,
- Secara dalam talian melalui aplikasi rasmi KTMB KITS Style,
- Mesin kios tiket di stesen terpilih bagi kanak-kanak bawah 6 tahun (bermula 15 Januari 2025, tertakluk kepada perubahan)
Dokumen diperlukan untuk pendaftaran
Pemohon perlu menyediakan dokumen berikut:
- Dokumen pengenalan diri Malaysia (Sijil Lahir / MyKid / MyKad)
- Surat pengesahan pelajar daripada sekolah (khusus untuk pelajar Tingkatan 6)
- Kad OKU yang dikeluarkan oleh JKM (bagi pemohon OKU)
Pelaksanaan MyRailLife dijangka memberi kelegaan kepada ramai keluarga, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan pelajar sekolah yang bergantung kepada perkhidmatan KTM untuk ke sekolah atau aktiviti harian.
Baca juga: JPN Keluarkan Garis Panduan Terkini Elak Nama Anak Ditolak, Mama Papa Perlu Faham 3 Kategori Ini!
Sumber: eCentral
FT Image: KTM Berhad
