Selepas sembilan bulan mengandung dan melalui detik melahirkan anak, pastinya ramai isteri berasa terharu apabila suami sanggup turun tangan membantu menguruskan bayi yang baru lahir terutamanya ambil tahu cara mandikan bayi.
Namun, pengalaman seorang wanita ini sedikit berbeza apabila niat baik suaminya untuk membantu mula menimbulkan rasa tidak sedap di hati.
CARA MANDIKAN BAYI SUAMI BUAT UNDANG KERISAUAN, SAMAKAN ‘ORGAN BAWAH’ ANAK DENGAN ISTERI

“Aku selalu suruh dia mandikan newborn, tapi lama-lama aku jadi risau…”
Menerusi satu perkongsian di media sosial, wanita berkenaan mengakui dia sering meminta suaminya memandikan bayi perempuan mereka. Namun, kebimbangannya mula tercetus apabila suaminya melontarkan kata-kata yang dianggap tidak sesuai selepas menguruskan anak kecil itu.
Lebih mengejutkan, si suami dikatakan pernah membuat perbandingan yang tidak wajar berkaitan tubuh bayi tersebut, selain bertindak mengucup mulut anak sebelum keluar bekerja. Perkara itu membuatkan si ibu mula berasa tidak selesa dan tertanya-tanya sama ada perasaannya itu berasas atau sekadar perasaan terlebih sensitif sebagai ibu baharu. Naluri ibu mula berbunyi, patutkah rasa ini dipandang ringan?
Sebagai seorang ibu, naluri untuk melindungi anak sememangnya sangat kuat. Wanita ini mengakui dia berasa serba salah sama ada mahu mempercayai suami sendiri dan pada masa yang sama, tidak dapat menolak rasa bimbang terhadap tingkah laku yang dianggap melampaui batas sebagai seorang bapa.
Netizen nasihatkan utamakan keselamatan anak

Foto: freepik
Perkongsian itu pantas mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, dengan ramai yang menyifatkan gurauan atau perlakuan sedemikian tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan bayi yang masih kecil dan tidak berdosa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menegaskan bahawa ibu tidak seharusnya memendam rasa atau mengabaikan kegusaran yang dirasai. Ada yang menyarankan agar pasangan tersebut mendapatkan pandangan pihak berautoriti seperti kaunselor atau pegawai agama, malah ada juga yang mengingatkan tentang kemungkinan isu hukum seperti zihar jika perbandingan tertentu dibuat secara sembarangan.
Apa pun pandangan yang dilontarkan, majoriti bersetuju bahawa keselamatan dan kesejahteraan anak perlu menjadi keutamaan, sementara komunikasi terbuka antara suami isteri sangat penting bagi mengelakkan salah faham dan risiko yang tidak diingini.
Kisah ini secara tidak langsung membuka mata ramai tentang kepentingan mendidik diri sebagai ibu bapa, menjaga batas percakapan serta menghormati amanah besar yang dikurniakan Allah. Naluri seorang ibu bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan, sebaliknya wajar diraikan dan diberi ruang untuk dibincangkan secara matang.
Sumber: X @meinmokhtar
