Cara defrost ayam dengan pantas sering menjadi persoalan, terutamanya apabila perlu mencairkan ayam beku yang keras kejung dalam masa singkat. Jika dibiarkan mencair secara semula jadi, proses tersebut boleh mengambil masa sehingga dua jam.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu kaedah merendam ayam beku dalam air garam bagi mempercepatkan proses nyahbeku. Persoalannya, adakah kaedah ini sekadar mitos orang lama, atau sebenarnya mempunyai penjelasan daripada sudut sains?
Baca juga: Bawang Merah Tompok Hitam Tanda Ada Kulat, Kena Basuh Macam Ini Dulu Sebelum Nak Guna!
CARA DEFROST AYAM GUNA AIR GARAM, 30 MINIT DAH SIAP

Freepik
Daripada sudut sains, jawapannya ialah ya, kaedah ini berkesan dan selamat dilakukan, asalkan mengikut garis panduan yang betul. Ia bukan berkaitan kepercayaan atau petua semata-mata, sebaliknya melibatkan prinsip asas fizik dan kimia.
Garam mempunyai sifat merendahkan takat beku air. Apabila garam dilarutkan ke dalam air rendaman, ia membantu mempercepatkan pertukaran haba antara air dan ais pada ayam beku. Proses ini menyebabkan ais mencair dengan lebih pantas berbanding penggunaan air paip biasa tanpa garam, sekali gus memendekkan tempoh nyahbeku.
Selain itu, kaedah ini turut memberi kelebihan dari sudut kualiti masakan. Dalam dunia kulinari, teknik ini dikenali sebagai brining.
Air garam akan meresap secara minimum ke dalam isi ayam dan membantu memecahkan struktur protein, menjadikan tekstur daging lebih lembut serta mengekalkan kelembapan apabila dimasak. Hasilnya, isi ayam menjadi lebih berjus dan tidak kering.
Walau bagaimanapun, aspek keselamatan makanan perlu diberi perhatian serius. Air panas tidak boleh digunakan kerana gabungan ayam mentah dan suhu tinggi boleh menggalakkan pembiakan bakteria berbahaya. Proses nyahbeku hendaklah dilakukan menggunakan air suhu bilik atau air sejuk sahaja.

Freepik
Ayam tidak boleh dibiarkan terlalu lama setelah lembut kerana pendedahan berpanjangan pada suhu bilik boleh meningkatkan risiko pencemaran bakteria. Setelah ayam mencair sepenuhnya, ia perlu dimasak dengan segera.
Bagi individu yang mempunyai tekanan darah tinggi atau ingin mengurangkan pengambilan sodium, ayam yang telah dinyahbeku menggunakan air garam disarankan untuk dibilas dengan bersih bagi menghilangkan lebihan garam sebelum dimasak.
Kesimpulannya, penggunaan air garam untuk mencairkan ayam beku bukanlah mitos, sebaliknya satu kaedah yang disokong oleh prinsip sains dan amalan kulinari. Dengan pematuhan langkah keselamatan yang betul, teknik ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah mampu meningkatkan kualiti masakan.
Baca juga: Cara Buat Kuih Cara Manis Versi Crispy, Sekali Makan Pasti Nak Lagi!
Sumber: Facebook Public Health Malaysia
