Ramai ibu bapa mungkin menyangka membilas dan mengeringkan sudah mencukupi, namun penjagaan botol susu yang tidak sempurna sebenarnya boleh membawa risiko jangkitan kepada bayi. Lebih membimbangkan, kesannya bukan sekadar cirit-birit biasa malah boleh menyebabkan najis berdarah.
Perkongsian seorang guru taska dan pakar bedah pediatrik baru-baru ini membuka mata ramai tentang kepentingan teknik cucian dan proses steril yang betul.
Baca juga: Mata Tiba-Tiba Sepet Selepas Beberapa Bulan Lahir, Rupanya Adam Hidap Kanser Saraf Tahap 4
LUAHAN GURU TASKA TENTANG KEADAAN BOTOL SUSU BERKERAK

Seorang guru taska menerusi akaun Threads berkongsi realiti yang sering dihadapi apabila botol susu anak dihantar ke taska dalam keadaan kurang bersih.
“Keadaan botol susu dibawa balik hari-hari. Cuti Sabtu Ahad tak bersihkan atau sterilize botol susu ke? Lepas itu bila anak cirit, ada pula soalan ‘Dekat taska makan apa? Ada berjangkit dengan kawan-kawan ke?’
“Jangan pula nak mengadu ‘teacher tak basuh betul-betul ke? teacher pemalas’ dan sebagainya.
“Teacher basuh botol dua kali sehari (budak-budak minum susu dua kali sehari). Berus botol susu yang digunakan pula jenis silikon (seperti di gambar), memang tak dapat capai kerak-kerak di celah botol susu tu,” kongsi guru tersebut.
Tambahnya lagi secara berseloroh, “Jangan suruh sental dengan jari 25 puting tu, hilang corak cap jari teacher nanti.”
Baca juga: Pakar Psikiatri Kongsi 7 ‘JANGAN’ Dalam Proses Didik Anak Bila Mereka Berdepan Stres!

Gambar: TikTok @dr.danielpakarpediatrik
Pakar Pediatrik jelaskan punca bayi najis berdarah
Pakar Bedah Pediatrik, Dr. Daniel menerusi TikTok @dr.danielpakarpediatrik turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes bayi kurang sebulan yang datang ke klinik dengan simptom najis berdarah.
Hasil pemeriksaan dan pengambilan sejarah mendapati bayi tersebut tidak berada dalam keadaan nazak, namun kelihatan tidak sihat. Selepas diteliti, puncanya bukanlah jangkitan misteri, sebaliknya berpunca daripada teknik cucian botol susu yang tidak dilakukan dengan sempurna.
Beliau menjelaskan bahawa ada ibu bapa yang hanya membilas botol seperti membilas cawan biasa selepas digunakan. Walaupun kelihatan bersih pada mata kasar, sisa susu sebenarnya masih melekat di bahagian dasar atau celah botol.
Susu formula yang kaya dengan protein mudah menjadi medium pembiakan bakteria apabila dibiarkan mengering.
Apabila susu baharu dibancuh ke dalam botol yang tidak benar-benar bersih, bakteria yang sedia ada akan terus bercambah. Bayi yang masih kecil dan mempunyai sistem imun yang belum matang mudah terdedah kepada jangkitan usus.
Keadaan ini boleh menyebabkan keradangan pada usus sehingga mengakibatkan cirit-birit dan najis bercampur darah, atau dikenali sebagai dysentery.
Kenapa sisa susu bahaya?
Beberapa faktor utama yang sering berlaku:
- Botol tidak dicuci segera selepas digunakan
- Kerak susu halus tidak kelihatan pada mata kasar
- Proses steril tidak dilakukan secara konsisten
Gabungan faktor ini meningkatkan risiko pencemaran bakteria, terutama pada bayi bawah enam bulan yang sistem pertahanan badannya masih lemah.
Baca juga: Tak Sangka! Mak Asma & Ayah Resdung, Anak Boleh Kena Ekzema? Fahami Fenomena ‘Atopic March’
CARA CUCI & STERIL DENGAN BETUL
Berikut panduan asas yang boleh diamalkan:
1. Cuci segera selepas digunakan
- Jangan biarkan susu mengering dalam botol.
- Bilas awal untuk buang lebihan susu.
2. Gunakan berus sesuai
- Gunakan berus yang boleh sampai ke dasar botol.
- Asingkan berus khas untuk mencuci puting.
3. Cuci dengan sabun dan air mengalir
- Bersihkan semua bahagian termasuk ulir dan penutup.
- Pastikan tiada kesan berminyak atau kerak.
4. Steril dengan air panas
- Rendam dalam air mendidih beberapa minit ATAU
- Gunakan mesin steril khas bayi.
5. Keringkan dengan cara bersih
- Letakkan di rak pengering yang bersih.
- Elakkan lap dengan kain yang mungkin tercemar.
Bagi ibu bapa, terutama yang pertama kali menimang cahaya mata, rutin mencuci botol mungkin kelihatan remeh. Namun kesilapan kecil boleh membawa kesan besar kepada kesihatan bayi.
Dalam penjagaan bayi, kebersihan bukan sekadar nampak bersih, tetapi mesti benar-benar bersih dan disteril dengan sempurna.
@dr.danielpakarpediatrik Ibu bapa jangan ambik ringan, kalau botol susu tak dibasuh dgn bersih, anak anda ada kemungkinan boleh kena keracunan makanan, sehingga najis berdarah. Jom dengar video saya berkenaan topik menarik ni. Kalau ada apa2 soalan tentang pediatrik, tulis kat bahagian komen atau WhatsApp jer kat Dr. Daniel 👉🏼 www.wasap.my/60189131196/HelloDrDaniel #pakarbedahpediatrik #pediatrik #paediatrics #paediatrician #surgeon #paediatricsurgeon #kualalumpur #fyp #botolsusu #najisberdarah ♬ original sound – Dr Daniel PakarBedah Pediatrik
Sumber: Threads @deqnordv / TikTok @dr.danielpakarpediatrik
FT Image: Threads @deqnordv
