Seorang calon SPM 2025, Ahmad Khairuddin, melalui detik yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya apabila kegembiraan sebaik keluar dari dewan peperiksaan bertukar menjadi episod paling memilukan.
Apa yang disangkakan permulaan untuk masa depannya bertukar menjadi berita meruntun hati mengenai pemergian ayah tercinta, Ustaz Md Nor bin Jusoh.
Baca juga: Insiden Terkandas Banjir Di Hatyai Jadi Pengajaran, Perlu Semak Ramalan Cuaca Sebelum Bercuti!
CALON SPM NANGIS KELUAR DEWAN, DAPAT BERITA AYAH MENINGGAL DUNIA

Menurut perkongsian yang tular, sejurus selesai menjawab salah satu kertas peperiksaan penting, Ahmad dihampiri ahli keluarga yang membawa khabar duka tersebut.
Pada ketika rakan-rakan lain masih berbincang tentang soalan dan mencongak keputusan, langkah Ahmad di luar dewan peperiksaan seakan terhenti apabila dimaklumkan bahawa ayahnya telah kembali ke rahmatullah
Situasi itu menyentuh hati ramai warganet, khususnya apabila membayangkan kekuatan seorang anak yang menghadapi peperiksaan besar dalam keadaan jiwa yang diuji sebegitu berat.
“Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan… namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu. Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Salam takziah kepada Ahmad Khairuddin (calon SPM) atas kehilangan ayah tercinta, Ustaz Md Nor bin Jusoh. Semoga al-Marhum ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Amin,” jelasnya.

Rata-rata netizen mengucapkan salam takziah dan menitipkan kata-kata semangat buat Ahmad Khairuddin agar terus tabah meneruskan perjuangannya. Ramai yang turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan luar biasa kepada remaja tersebut untuk menempuh baki peperiksaan yang masih berbaki.
“Dia kebumi arwah ayah dia dengan baju sekolah lagi. Ya Allah, Engkau gantikan berita sedih hari ini dengan kejayaan yang cemerlang di masa depannya. Amiin,” komen pengguna media sosial.
Difahamkan juga, seusai sahaja urusan pengebumian ayahnya disempurnakan, dia kembali ke dewan peperiksaan dengan hati yang sarat kesedihan, namun tetap teguh meneruskan perjuangan.
Semoga Ahmad Khairuddin diberikan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pembelajarannya. Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarganya.
Baca juga: Teguran Lembut Tapi Menyentuh – Ustazah Asma’ Harun Bimbang Aurat Wanita Kian Diabaikan Di Hospital
Sumber: TikTok SAF Creative
