Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) mengumumkan pelaksanaan kutipan caj jalan Genting Highlands secara rasmi bermula 28 Mei 2026 melibatkan semua pengguna jalan raya yang memasuki kawasan percutian popular itu menerusi laluan utama di Genting Sempah dan Gohtong Jaya.
CAJ JALAN GENTING HIGHLANDS BERMULA 28 MEI 2026

Foto: NST
Pelaksanaan caj tersebut akan dibuat dalam dua fasa iaitu 28 Mei 2026 dan 28 Jun 2026 melibatkan semua pengguna jalan raya yang memasuki kawasan Genting Highlands.
Menurut kenyataan LCSB, kutipan caj jalan akan dilaksanakan di:
- Pintu Masuk Genting Highlands, Genting Sempah
- Pintu Masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya
Semua pengguna jalan raya yang dibenarkan masuk ke kawasan Genting Highlands perlu membuat bayaran kecuali kategori tertentu yang diberikan pengecualian.
Caj Jalan Genting Highlands Bagi Kereta Dan Van Sebanyak RM 5

Foto: BERNAMA
Di bawah struktur kadar yang diumumkan, kenderaan Kelas 1 iaitu kereta dan van akan dikenakan caj sebanyak RM5 bagi setiap kali masuk.
Turut diumumkan ialah kadar caj mengikut kategori kenderaan lain seperti berikut:
- Kelas 1 (Kereta / Van) – RM5
- Kelas 2 (Lori sederhana) – RM15
- Kelas 3 (Lori berat) – RM25
- Kelas 4 (Teksi) – RM3.30
- Kelas 5 (Bas) – RM5
LCSB turut memaklumkan bahawa kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5 wajib menggunakan Lorong Khas atau sistem pengecaman nombor plat kenderaan (LPR) semasa memasuki kawasan tersebut.
Motosikal Dan Kenderaan Kecemasan Dikecualikan
Dalam masa sama, beberapa kategori pengguna diberikan pengecualian daripada caj jalan raya ini.
Antara yang tidak dikenakan bayaran ialah:
- Kenderaan kecemasan
- Motosikal
- Kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan dikenal pasti di Genting Highlands
Langkah pengecualian ini dilihat bagi memastikan operasi perkhidmatan penting tidak terjejas susulan pelaksanaan sistem baharu tersebut.
Penduduk Genting Highlands Dapat Kadar Istimewa
Sementara itu, bermula 28 Jun 2026 pula, LCSB akan memperkenalkan kadar khas kepada penduduk tetap Genting Highlands yang layak.
Menurut kenyataan tersebut, sehingga dua kenderaan Kelas 1 bagi setiap penduduk berdaftar boleh menikmati kadar 10 peratus lebih rendah berbanding kadar biasa bagi setiap kemasukan.
Namun begitu, pengguna perlu menggunakan Lorong LPR atau Lorong Khas untuk menikmati kadar istimewa berkenaan.
LCSB turut menjelaskan bahawa kenderaan berdaftar penduduk tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun 2026.
Skim Pas Bermusim Enam Bulan Turut Diperkenalkan
Selain kadar diskaun khas, LCSB juga akan memperkenalkan skim pas bermusim selama enam bulan khusus untuk penduduk tetap berdaftar.
Menerusi skim ini, pemegang pas boleh menikmati kemasukan tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku pas melalui Lorong LPR atau Lorong Khas.
Menurut LCSB, skim tersebut dijangka memberi penjimatan kos yang lebih ketara kepada penduduk yang kerap menggunakan laluan berkenaan.
Penduduk yang berminat perlu membuat permohonan serta bayaran bagi mendapatkan pas bermusim tersebut.
Sumber: Bernama
FT Images: NST
