Euforia Bola 2026
Famili

“Pukul 3 Pagi Dia Menjerit..”- Pengalaman Petugas Di Wad Tentang Bunga Lily Buat Ramai Seram Sejuk!

bunga wangi

Baru-baru ini, satu hantaran di Threads menjadi perhatian ramai apabila pengguna berkongsi tip menggunakan bunga wangi iaitu bunga lili untuk membuatkan rumah berbau harum sebelum tetamu datang.

Baca juga: Permohonan Ke IPTA Bagi Lepasan Tahfiz & SMPC/UEC Akan Dibuka Mulai 30 Jun, Layak Nikmati Subsidi Kerajaan

BETULKAH BUNGA WANGI TARIK MAKHLUK HALUS?

bunga wangi

Foto: Gemini AI

Menurut perkongsian di Threads, bunga lili biasanya mula kembang pada hari ketiga dan akan mengeluarkan bau yang sangat wangi sehingga boleh memenuhi satu rumah.

Tambah pula dengan eucalyptus, memang suasana rumah terasa segar dan mewah seperti hotel.

Namun ruangan komen bertukar seram apabila beberapa individu mula berkongsi pengalaman pelik melibatkan bunga berbau kuat seperti lili.

“Pukul 3 Pagi Dia Menjerit…”

bunga wangi

Foto: Gemini AI

Seorang pengguna Threads iaitu @syazmoha yang pernah bekerja di hospital di Kuala Lumpur berkongsi pengalaman menyeramkan ketika bertugas syif malam.

Menurutnya, seorang pesakit wanita yang kerap masuk wad akibat masalah jantung pernah meminta anaknya membawa bunga lili ke hospital.

Sekitar jam 3 pagi, pesakit tersebut tiba-tiba menjerit sehingga mengejutkan semua orang dalam wad. Jururawat yang bertugas terus berlari kerana menyangka berlaku kecemasan.

Namun pesakit itu mendakwa dia terlihat “Fatimah Rock” sedang duduk di kerusi hadapan katilnya sambil memandang tepat ke arahnya.

Lebih meremangkan keadaan apabila seorang pesakit lain turut mendakwa bunga itu “menarik perhatian sesuatu”.

Florist Pun Kongsi Pengalaman Sama

Bukan itu sahaja, seorang florist turut membalas hantaran tersebut dan mendakwa bunga berbau kuat memang sering dikaitkan dengan perkara mistik oleh sesetengah masyarakat.

Menurutnya, bunga seperti lili, tuberose, ros dan bunga beraroma kuat lain sering menjadi bahan cerita kerana dikatakan mudah “menarik sesuatu”, terutama apabila diletakkan dalam ruang tertutup pada waktu malam.

Walaupun kedengaran menyeramkan, kepercayaan seperti ini sebenarnya sudah lama wujud dalam masyarakat Nusantara.

Kenapa Bunga Wangi Sering Dikaitkan Dengan Unsur Mistik?

bunga wangi

Foto: Gemini AI

Dalam budaya Melayu dan masyarakat Asia lain, bunga yang mempunyai bau kuat sering dikaitkan dengan alam ghaib, ritual tradisional dan kisah mistik.

Ada kepercayaan lama yang mengatakan bau bunga tertentu yang tiba-tiba muncul tanpa sumber jelas menjadi petanda “kehadiran sesuatu”.

Malah dalam sesetengah adat tradisional, bunga-bunga berbau harum turut digunakan dalam upacara tertentu seperti mandi bunga, kembang tujuh rupa dan ritual budaya lama.

Disebabkan kaitan itu, ramai mula menghubungkan bunga beraroma kuat dengan unsur seram atau makhluk halus.

Antara bunga yang sering dikaitkan dengan unsur mistik dalam kepercayaan masyarakat dahulu ialah:

1. Bunga Cempaka Putih

Dikaitkan dengan kisah pontianak dan makhluk halus dalam cerita masyarakat lama.

Harumannya yang kuat dipercayai menjadi kegemaran “makhlus halus” sehingga ada yang percaya pokok ini menjadi tempat persinggahan mahkluk tersebut.

2. Bunga Melati

Bunga melati terkenal dengan bau yang lembut tetapi sangat harum. Dalam budaya Jawa, haruman melati sering dikaitkan dengan kisah mistik dan alam ghaib.

Ada yang percaya jika tiba-tiba terhidu bau melati tanpa nampak bunganya, itu petanda “ada sesuatu” di sekitar.

Selain itu, melati juga sering digunakan dalam adat tradisional dan kadangkala ditanam berhampiran kawasan perkuburan.

3. Bunga Harum Sundal Malam

Nama bunga ini sendiri sudah cukup membuatkan ramai meremang.

Harum sundal malam atau tuberose memang terkenal dengan aroma yang sangat kuat terutama pada waktu malam.

Disebabkan baunya lebih menyerlah selepas matahari terbenam, masyarakat dahulu mula mengaitkannya dengan unsur misteri dan makhluk halus.

4. Bunga Kemboja

Bunga kemboja sangat sinonim dengan kawasan perkuburan kerana sering ditanam di tanah kubur.

Disebabkan itu, ramai menganggap bunga ini menyeramkan walaupun sebenarnya rupanya sangat cantik dan harum.

Dalam beberapa kepercayaan tradisional, kemboja turut dikaitkan dengan ritual pemujaan dan upacara tertentu.

5. Mawar Merah dan Putih

Mawar biasanya sinonim dengan cinta dan romantik.

Tetapi dalam sesetengah kepercayaan lama, mawar merah dan putih juga dikatakan digunakan dalam “kembang tujuh rupa” iaitu campuran beberapa jenis bunga untuk tujuan ritual tertentu.

Sebab itu ada yang mengaitkannya dengan unsur mistik walaupun ia sebenarnya bunga yang sangat popular dalam dekorasi dan hadiah.

Tiada Bukti Saintifik Bunga Wangi Menarik Makhluk Halus

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini tiada bukti saintifik yang membuktikan bunga seperti lili mampu menarik makhluk halus.

Secara semula jadi, bunga berbau kuat memang mengeluarkan aroma lebih pekat terutama pada waktu malam untuk menarik serangga pendebungaan.

Sebab itu bunga seperti lily atau tuberose boleh memenuhi satu ruang dengan bau yang sangat kuat.

Faktor psikologi dan suasana juga memainkan peranan besar kenapa sesuatu pengalaman itu terasa lebih menyeramkan.

Soal bunga “menarik makhluk halus” lebih banyak berkait dengan kepercayaan masyarakat, pengalaman individu dan cerita turun-temurun.

Ada yang percaya, ada juga yang menganggap ia sekadar kebetulan. Namun satu perkara yang pasti, bunga lili memang antara bunga paling wangi dan elegan untuk dijadikan penyeri rumah.

Cuma kalau tiba-tiba terbau harum bunga tengah malam tanpa nampak batang bunganya… mungkin ramai terus meremang juga.

Baca juga: Jangan Hanya Sekadar Cuci Biasa… Ini Cara Betul Hilangkan Bau & Minyak Pada Peralatan Dapur

Sumber: Threads @syazmoha dan Facebook Belalang Post

FT Images: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×