Euforia Bola 2026
Didik

“Setiap Kali Lalu Mereka Tunggu & Tabik”- Dua Beradik Ini Berjaya Buat Abang Polis Trafik ‘Cair’, Dapat Salam!

polis trafik

Setiap kanak-kanak membesar dengan impian tersendiri. Ada yang memasang cita-cita ingin menjadi doktor, anggota bomba, askar atau juruterbang. Tidak kurang juga yang menyimpan impian untuk bergelar polis trafik.

Selalunya, impian ini lahir daripada kekaguman melihat keberanian dan disiplin para petugas keselamatan di depan mata atau di kaca televisyen malah ada yang lihat di hadapan rumah sendiri!

Baca juga: Graduan UiTM Jadi Rebutan, Universiti Ini Kekal Jadi Pilihan Majikan Dengan 92.1% Kebolehpasaran Kerja!

DUA BERADIK SETIAP TUNGGU TABIK HORMAT POLIS TRAFIK SETIAP KALI LALU RUMAH

polis trafik

Foto: Kelihatan dua beradik ini siap sedia tabik.

Baru-baru ini, satu video ringkas di TikTok berjaya mencuri perhatian ramai dan mengundang senyuman bercampur rasa terharu. Menerusi perkongsian akaun @wanpieja85, seorang anggota polis trafik berkongsi momen manis melibatkan dua beradik kecil yang setia menunggu kehadirannya walaupun dalam hujan renyai.

Anggota polis berkenaan, Koperal Wan Mohd Faizal Wan Azman, 40 tahun, dari Cawangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, memuat naik gelagat dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan empat tahun di Kampung Meranti, Pasir Mas.

Dalam video tersebut, kelihatan dua beradik itu berdiri di luar rumah sambil memberikan tabik hormat sebaik ternampak motosikal polis yang melalui kawasan mereka. Walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan, senyuman dan semangat mereka tetap terpancar.

Tersentuh dengan keikhlasan itu, Wan Mohd Faizal mengambil kesempatan berhenti seketika. Lebih mencuit hati, beliau mempelawa si abang untuk duduk di atas motosikal berkuasa tinggi miliknya. Wajah si kecil itu terus berseri dan jelas terpancar keterujaan yang sukar disembunyikan.

Sebelum berpisah, kedua-dua kanak-kanak itu sempat bersalaman, seolah-olah mengabadikan satu kenangan manis yang pasti sukar dilupakan.

“Hari ni hujan-hujan pun dua beradik ni keluar tabik. Tak sibuk sangat, jadi boleh singgah sekejap layan. Abang nak naik motor, adik pula lari takut,” tulis Wan Mohd Faizal di ruangan kapsyen.

Sudah Tiga Bulan Setia Menanti, Netizen Puji Polis ‘Sporting’

polis trafik

Menurut Wan Mohd Faizal ketika ditemui, dua beradik tersebut sebenarnya sudah hampir tiga bulan melakukan perkara yang sama. Setiap kali terdengar bunyi enjin motosikal pengiringnya, mereka akan berlari ke tepi jalan untuk memberi tabik hormat.

Malah, kanak-kanak itu dikatakan sudah mengenali bunyi motosikal berkuasa tinggi yang digunakan Wan Mohd Faizal ketika mengiringi kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Kebiasaannya sekitar jam 5 hingga 6 petang mereka akan keluar. Setiap kali saya lalu, mereka berdiri dan tabik. Saya perasan lama dah, cuma sebelum ini tak pernah berhenti atas faktor keselamatan dan prosedur,” jelasnya.

Namun pada hari kejadian, tugasan yang tidak terlalu padat memberi ruang untuk beliau berhenti seketika dan menyapa dua beradik yang setia menunggu itu.

“Saya benar-benar tersentuh dengan kesungguhan mereka,” katanya ringkas.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengakui tersenyum melihat interaksi polos antara dua beradik tersebut dengan anggota polis berkenaan. Ada yang menyifatkan momen itu sebagai kenangan berharga yang akan kekal dalam ingatan si kecil hingga dewasa.

“Kenangan ni budak-budak tu akan ingat sampai bila-bila. Terima kasih sebab sudi layan,” tulis seorang pengguna.

Tidak kurang juga yang memuji sikap Wan Mohd Faizal yang mesra, peramah dan tidak kekok melayan kanak-kanak.

“Paling respect bila jumpa polis yang humble dan sporting macam ni,” kata seorang lagi pengguna TikTok.

Momen ringkas ini membuktikan, kadangkala tindakan kecil yang ikhlas mampu memberi inspirasi besar dan mungkin menjadi titik mula lahirnya seorang wira negara pada masa hadapan. Syabas!

@wanpieja85 Arini hujan² pon keluar tabik ke Abam Ja 2 beradik ni..Arini xbz sgt jd boleh singgah sekejap layan..Abang nk naik moto adik lari pulak takut.. 🤣🤣#SelamatBersamaJSPT #motovlog #st1300 #videoviralシ #NolanHelmet@Insta360 by DroneHub.my ♬ original sound – Wanfaizal85

Baca juga: “Gaji Bidang Kemahiran Boleh Cecah RM6,000!”- Ini Sebab TVET Tarik Minat Pelajar Cemerlang

Sumber: Sinar Harian, Tiktok @wanpieja85

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×