Menerusi pengguna media sosial dikenali sebagai Ridernom, dia ada berkongsi kisah mengenai sekumpulan kanak-kanak jual lukisan hasil tangan sendiri di sebuah pasar malam.
Menurutnya, di zaman moden ini di mana kebanyakan kanak-kanak lebih leka dengan telefon pintar, permainan video atau kandungan digital, namun masih ada anak-anak yang memilih untuk memegang pensel, krayon dan berus lukisan semata-mata kerana minat dan keseronokan berkarya.
Baca juga: Genius Matematik Adi Putra Kini Bergelar Ayah, “Hadiah Paling Indah Hadir Pada Hari Lahir Sendiri..”
KANAK-KANAK JUAL LUKISAN DI PASAR MALAM, TERUS LUKIS & WARNA

Katanya, di zaman moden yang menyaksikan pelbagai perkara boleh dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), masih ada anak-anak yang memegang pensel, krayon dan berus lukisan semata-mata kerana minat dan rasa gembira apabila berkarya.
Sebagai tanda sokongan, dia membeli satu lukisan seekor kucing dan sebuah rumah daripada adik-adik tersebut, mengambilnya selepas mereka menyiapkan lukisan dan mewarna dengan teliti.
Selain itu, kanak-kanak itu turut melukis motosikal secara percuma untuknya, tindakan yang membuatkan Ridernom terharu dan kagum dengan semangat, kreativiti serta kesungguhan mereka walaupun masih kecil.
“Haritu pergi pasar malam, jumpa budak-budak jual lukisan. Aku jadi excited sebab dulu-dulu pun pernah jual lukisan dekat sekolah. Aku order kucing dan rumah, mereka lukis dan warna dekat situ.
“Lepas beli dinner, aku singgah semula untuk ambil lukisan. Adik-adik ni siap belanja aku lukisan motor. Semoga adik-adik berjaya dalam bidang seni,” luah lelaki itu.
Ridernom turut mendoakan agar adik-adik tersebut terus berjaya dalam bidang seni dan berharap lebih ramai masyarakat menghargai karya yang dihasilkan melalui usaha manusia, bukan semata-mata karya janaan komputer.

Menerusi ruangan komen, rata-rata memberikan kata-kata positif buat kanak-kanak berkenaan. Ramai yang memuji keberanian mereka berniaga di usia muda serta kesungguhan menghasilkan lukisan dengan usaha sendiri.
Sebahagian warganet menyifatkan apa yang dilakukan adik-adik itu sebagai contoh yang baik kepada kanak-kanak lain. Dalam keadaan ramai seusia mereka lebih cenderung menghabiskan masa dengan gajet, tindakan memilih untuk berkarya dan menjual hasil seni sendiri dianggap sesuatu yang wajar dipuji.
“Alahai pandainya adik-adik ini cari rezeki. Mesti mereka tengok cerita Upin Ipin dan tiru kan? Semoga dipermudahkan segala urusan dan jualan laku ya dik,” komen pengguna media sosial.
Baca juga: Daripada Siti & Ahmad Ke Arissa & Rayyan? Ini Trend Nama Bayi Yang Hit & Sedang Popular 2026!
Sumber: TikTok Ridernom
