Sepasang suami isteri telah ditahan pihak polis selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan serta menunjukkan tanda-tanda kecederaan fizikal.
Penemuan kanak-kanak tersebut bermula apabila seorang individu awam menemui mangsa berada di luar sebuah kedai serbaneka di kawasan Star Valley, Nilai, dalam keadaan ketakutan dan menggigil kira-kira jam 5.30 petang.
Baca juga: Cikgu Bongkar 5 Punca Anak Gagal Dapat Tawaran PKSK, WAJIB Baca Dulu Sebelum Buat Rayuan!
BUDAK LELAKI 10 TAHUN ALAMI KECEDERAAN FIZIKAL DITEMUI TERBIAR

Lelaki berkenaan kemudian membawa kanak-kanak itu ke tempat yang lebih selamat sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya memaklumkan, pihak polis segera bertindak membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi menjalankan siasatan awal serta usaha mengesan penjaga kanak-kanak tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa,” jelasnya.
Menurut beliau, pasangan tersebut yang dipercayai merupakan bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak itu ditahan di IPD Nilai sekitar jam 2 petang hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Pemeriksaan awal terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan fizikal di beberapa bahagian badan yang disyaki berpunca daripada perbuatan penderaan. Susulan itu, kanak-kanak berkenaan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan lanjut turut mendedahkan mangsa mempunyai rekod rawatan terdahulu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada tahun 2020 selepas mengalami kecederaan bukan kemalangan, termasuk kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu, dada dan belakang badan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Dalam pada itu, pihak polis menegaskan bahawa sebarang bentuk penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak dipandang serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat.
Orang ramai turut diminta agar tidak berdiam diri dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku kes penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak di sekeliling mereka.
Baca juga: Seawal Usia 7 Tahun Dah Ada Payudara & Bulu Ketiak.. Doktor Sahkan Anak Alami Akil Baligh Pramatang!
Sumber: Berita Harian
