Dalam semangat solidariti terhadap rakyat Palestin, ramai antara kita mula mengambil pendirian tegas, memboikot produk dan jenama yang didakwa menyokong musuh Islam. Gerakan ini bukan sesuatu yang asing, malah dalam sejarah umat Islam, boikot pernah menjadi strategi menekan musuh secara damai.
Namun kebelakangan ini, sesuatu yang asalnya lahir dari semangat perjuangan, perlahan-lahan berubah wajah dan telah menjadi satu bentuk ujian sosial. Tetapi persoalannya, adakah tindakan yang dianggap langkah solidariti boikot itu benar-benar membantu perjuangan?
Tabayyun sebelum boikot

Kredit: EDC
Boikot yang digerakkan secara tergesa-gesa bukan sahaja boleh menyasar pihak yang tidak bersalah, tetapi juga menjejaskan kesatuan ummah dan memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan.
Di sinilah letaknya kepentingan tabayyun, prinsip Islam yang menuntut semakan dan penyelidikan sebelum bertindak.
Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut (memastikan)adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)
Dari perspektif syarak, tindakan tergesa-gesa tanpa penyelidikan menyeluruh bertentangan dengan prinsip tabayyun, yang digariskan secara jelas dalam Surah al-Hujurat ayat 6.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ ٦
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Siapa yang terkesan sebenarnya?
Boikot tanpa asas ini meletakkan perniagaan yang diterajui oleh orang Islam dalam kedudukan yang amat sukar. Walaupun mereka berusaha menjalankan perniagaan dengan nilai-nilai yang luhur dan selari dengan prinsip Islam, mereka terpaksa menghadapi tuduhan dan spekulasi yang tidak berasas, yang mengaitkan mereka dengan isu yang boikot.

Kredit: Stock Image
Dalam banyak kes, tuduhan ini tidak berpandukan fakta yang jelas dan hanya berdasarkan persepsi atau ketidaktahuan masyarakat. Akibatnya, perniagaan yang diterajui oleh pengasas Islam menjadi sasaran kecaman, dan imej mereka tercalar di mata masyarakat. Pelanggan dan pihak lain mulai ragu-ragu untuk terus menyokong mereka, menyebabkan kesan langsung terhadap prestasi jualan serta reputasi perniagaan.
Selain itu, pencipta kandungan di media sosial juga sering menjadi mangsa kecaman. Mereka dituduh terlibat dalam mempromosikan produk yang diboikot, walaupun banyak kali tuduhan tersebut tidak mempunyai informasi yang jelas. Serangan terhadap mereka sering kali bersifat peribadi dan menghancurkan maruah serta integriti profesional mereka. Kecaman yang tidak berasas ini bukan hanya memberi impak negatif kepada profesionalisme mereka, tetapi juga menjejaskan kesejahteraan mental dan reputasi mereka dalam dunia digital.
Bahkan, tekanan sosial yang timbul akibat gerakan boikot tanpa asas ini turut membuatkan ramai orang berasa takut dan mengelak daripada makan atau membeli di kedai-kedai tertentu. Mereka bimbang dilabel sebagai ‘fencesitter’—individu yang tidak menyatakan sokongan atau pendirian yang jelas. Tekanan ini mengakibatkan mereka takut untuk dinilai negatif oleh masyarakat atau dihukum kerana dilihat tidak terlibat dalam gerakan tersebut.
Boikot Tanpa Ilmu, Boleh Jadi Mudarat

Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dalam buku berjudul “Perspektif Syariah dan Realiti Semasa” yang ditulis oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau menerangkan bahawa pemboikotan ekonomi hanya dapat dianggap berkesan dalam jihad apabila ia selaras dengan kaedah fiqh mizanah dan tidak menimbulkan kemudaratan yang lebih besar daripada manfaat yang diharapkan.
Oleh itu, amatlah penting untuk umat Islam merujuk kepada ulama yang berkelayakan dalam tindakan boikot supaya ianya bukan sekadar menjadi budaya ikut-ikutan tanpa ilmu yang secara tidak langsung menjadi alat untuk mengaibkan, menghukum dan sekaligus memecah-belahkan umat Islam sendiri.
Terdapat beberapa pandangan dan fatwa ulama berkenaan isu boikot yang ditekankan dalam buku ini dan salah seorangnya ialah Syeikh Abdullah bin Bayyah.
Beliau memberikan tiga perkara untuk diteliti iaitu:
- Pihak pemerintah hendaklah menentukan berdasarkan kebaikan dan keburukan mana yang lebih dominan
- Hendaklah melihat kepada maslahah dan manfaat berdasarkan pertimbangan akal yang sahih
- Hendaklah mempertimbangkan kesan boikot tersebut khususnya terhadap umat Islam.
Syeikh Dr Ahmad bin ‘Abd al-Aziz bin Qasim al-Haddad yang merupakan anggota pelbagai majlis fatwa antarabangsa, termasuk Majlis Fiqh Islam Antarabangsa sejak 14 Mac 2017, turut memberi pandangan bahawa manfaat boikot itu perlu dipertimbangkan dengan teliti, termasuk kesannya terhadap isu yang sedang berlaku.
Selain itu, Syeikh Dr Sulaiman al-Ruhayli apabila ditanya tentang hukum memboikot restoran francais yang didakwa menyokong musuh Islam, menjelaskan bahawa ia adalah kejahilan (kekurangan ilmu) tentang realiti komersial. Restoran seperti ini di setiap negara dikendalikan dan dimiliki oleh penduduk tempatan dan mereka hanya menggunakan hak jenama dan resipi.
“Menggeneralisasikan isu ini adalah tidak adil kepada umat Islam kerana syarikat-syarikat ini menggaji ramai pekerja muslim. Justeru, kempen boikot terhadap mereka hanya kerana terdapat francais tertentu yang menyokong musuh Islam adalah tidak dibenarkan.”
Syeikh Usamah Sulaiman pula turut menegaskan bahawa pemboikotan memerlukan garis panduan syarak dan harus mempertimbangkan kesannya kepada umat Islam, terutama anak-anak kita kerana ia mungkin lebih besar daripada kesannya terhadap musuh.
Boikot bukan hanya tentang ‘stop beli’. Tapi juga ‘start faham’
Selari dengan keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bahawa boikot hendaklah dilaksanakan secara beriman, bijak, berilmu, berhikmah, beretika dan tidak bertindak secara ekstrem, melulu, melampau dan keterlaluan.

Kredit: Westend61
Apabila semangat solidariti disalurkan dengan ilmu dan adab, kita bukan sahaja menentang kezaliman dengan kekuatan moral, malah kita turut membina tamadun pemikiran yang matang dan menyatukan ummah dengan kasih, bukan kecaman.Jangan jadikan boikot sebagai medan perpecahan. Jadikan ia medan pencerahan.
Untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam, tonton perkongsian penuh daripada Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam video ini:
