Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS 3.0), inisiatif baharu yang membolehkan ketua isi rumah menanggung ibu bapa warga emas layak menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan, berkuat kuasa Julai 2026.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, menjelaskan syarat tambahan ini merupakan langkah alternatif untuk membantu meringankan beban kos sara hidup terutama bagi penduduk bandar yang kini berhadapan kos kehidupan tinggi.
Baca juga: [TERKINI] Tarikh Agihan Diumumkan, Lebih 5.2 Juta Murid Dapat Bantuan Awal Persekolahan 2026
BINGKAS 3.0 BERI RM300 UNTUK ANAK TANGGUNG IBU BAPA WARGA EMAS

Gambar: Media Selangor
“BINGKAS 2.0 akan tamat pada Jun. Untuk fasa seterusnya, kita akan tambah syarat baharu bagi membolehkan anak susah dan menanggung ibu bapa layak terima bantuan RM300 sebulan.
“Walaupun Kerajaan Negeri ada sediakan baucar beli-belah RM150 kepada warga emas menerusi Skim Mesra Usia Emas, namun ada yang masih bergantung kepada anak-anak. Jadi kita mahu bantu isi rumah ini,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, BINGKAS ditawarkan kepada keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan berumur bawah 18 tahun, selain warganegara yang bermastautin lebih 10 tahun di Selangor.
Kini, bantuan ini diperluas bagi menampung keluarga yang turut menanggung warga emas.
Menurut Anfaal, tambahan syarat ini diharap mampu menampung keperluan rakyat memandangkan Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi berdasarkan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024.
“Walaupun BINGKAS tak mampu selesaikan masalah kos hidup, namun sekurang-kurangnya ia membantu keluarga berpendapatan rendah. Setakat ini kita kekalkan jumlah penerima seramai 30,000 keluarga,” katanya lagi.
Baca juga: Permohonan Peperiksaan Perkhidmatan Awam 2026 Dah Buka, Cepat Mohon Sebelum Tarikh Tutup!

Gambar: Media Selangor
Selain itu, inisiatif MamaKerja turut menawarkan bantuan RM100 sebulan selama setahun kepada ibu bekerja bagi meringankan beban kewangan penduduk bandar.
Statistik semasa dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Selangor mencatat kos kehidupan tertinggi untuk semua saiz isi rumah dengan 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1).
Shah Alam pula mencatat Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tertinggi bagi ibu negeri, sementara Petaling paling tinggi di peringkat daerah pentadbiran.
BINGKAS 3.0 diharap memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah yang menanggung ibu bapa warga emas, sambil menekankan kepentingan sokongan sosial dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Baca juga: Jiran ‘Report’ Terganggu Bau Masakan, Pihak Berkuasa Melaka Datang Ketuk Pintu Rumah Buat Siasatan!
Sumber: Media Selangor
FT Image: lifestylememory
