Memasuki awal Julai, media sosial dibanjiri dengan perkongsian netizen yang mendakwa bil elektrik naik bagi penggunaan bulan Jun meningkat berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Ada yang memuat naik gambar bil elektrik masing-masing sambil meluahkan rasa terkejut apabila jumlah yang perlu dibayar meningkat sehingga puluhan dan ratusan ringgit.
Baca juga: Hari Bekerja Hibrid Bermula 1 Ogos Ini…Tiada Had Radius 8KM, Pegawai Di Negeri & Daerah Turut Layak
BIL ELEKTRIK NAIK BULAN JUN, RAMAI MULA MENGELUH
Seorang pengguna, Aina berkata bil elektrik keluarganya meningkat daripada sekitar RM145 kepada RM238 walaupun menurutnya rutin penggunaan di rumah tidak banyak berubah.
Seorang lagi pengguna Ikhwan, berkongsi bil yang lazimnya sekitar RM40 namun bagi bulan Jun meningkat kepada hampir RM350.

Malah, ada juga pengguna yang mendakwa pertama kali bil elektrik rumah mereka melebihi RM500 dan sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan persoalan mengenai punca kenaikan tersebut.
Antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan bil elektrik ialah cuaca panas yang berpanjangan sepanjang Jun, menyebabkan ramai menggunakan pendingin hawa dan kipas untuk tempoh yang lebih lama.
Selain itu, musim cuti sekolah pada bulan Jun juga menyaksikan lebih ramai ahli keluarga berada di rumah sepanjang hari, sekali gus meningkatkan penggunaan pelbagai peralatan elektrik seperti televisyen, komputer, mesin basuh dan peralatan dapur.
Pada masa sama, penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penyaman udara, pemanas air, pengering pakaian dan dapur elektrik secara serentak juga boleh menyebabkan penggunaan tenaga meningkat dengan ketara.

Sekiranya bil elektrik meningkat secara luar biasa, pengguna disarankan menyemak tempoh bacaan bil, jumlah penggunaan dalam unit kilowatt-jam (kWh) serta membandingkannya dengan bil bulan-bulan terdahulu.
Selain memastikan peralatan elektrik ditutup apabila tidak digunakan, pengguna juga boleh menetapkan suhu pendingin hawa sekitar 24 hingga 26 darjah Celsius bagi membantu mengurangkan penggunaan tenaga.
Walaupun kenaikan bil elektrik boleh dipengaruhi pelbagai faktor, perkongsian netizen ini menjadi peringatan kepada orang ramai untuk lebih peka terhadap corak penggunaan elektrik di rumah, terutama ketika cuaca panas dan musim cuti sekolah.
Sumber: Threads
