Dalam usaha melahirkan barisan profesional masa hadapan yang berteraskan nilai al-Quran, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah proaktif dengan menawarkan keutamaan pembiayaan kepada pelajar cemerlang SPM yang menghafaz Al-Quran.
Langkah ini bukan sahaja membuka peluang keemasan untuk mereka melanjutkan pengajian ke luar negara, malah memperkukuhkan visi melahirkan pemimpin berjiwa Al-Quran dan berdaya saing di peringkat global.
Baca juga: Ini Senarai Ranking Sekolah Yang ‘Top’ SPM 2024 Untuk SBP & MRSM, Tahniah Buat Semua!
PELAJAR CEMERLANG SPM YANG HAFAZ AL-QURAN DAPAT KEUTAMAAN DIBIYAI MARA

Dr. Asyraf Wajdi
Menurut kenyataan terbaharu di laman Facebook Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keutamaan itu diberikan bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional strategik di luar negara.
“MARA akan memberikan keutamaan kepada pelajar SPM yang cemerlang dan hafaz Al-Quran untuk membiayai pengajian mereka di luar negara,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pengumuman itu mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial yang turut memberikan beberapa cadangan kepada Asyraf untuk dipertimbangkan.
Salah seorang pengguna, Aizuddian Danian, mencadangkan agar pelajar bukan sahaja dinilai berdasarkan hafalan Al-Quran, tetapi juga kefahaman terhadap isi kandungannya semasa sesi temu duga.
“Jika semua faktor lain setara, pelajar yang memahami mesej Al-Quran perlu diiktiraf dan diberi galakan. Dalam sesi temu duga, MARA sepatutnya mengajukan soalan untuk menguji kefahaman mereka terhadap Al-Quran serta bagaimana mereka mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Inilah ciri-ciri pemimpin masa depan yang Malaysia perlukan,” katanya.
Cadangan itu disambut baik oleh Asyraf yang berjanji untuk meneliti dan mempertimbangkannya.
“Terima kasih atas pandangan yang bernas. Kami akan ambil perhatian terhadap cadangan ini,” balas Asyraf.
Inisiatif ini juga selari dengan arahan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini menggesa MARA melaksanakan Program Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Ahmad Zahid menegaskan bahawa objektif utama program tersebut adalah untuk memastikan semua 57 MRSM yang menampung kira-kira 37,000 pelajar dapat melahirkan generasi yang berjiwa kukuh berpaksikan al-Quran, tanpa mengabaikan pencapaian akademik dan kursus sedia ada.

Foto hiasan.
*Mana tahu selepas ini lahir pula generasi boleh mentafsir Al-Quran dalam kalangan pelajar SPM?
Baca juga: Nak Masuk MRSM, SBP & Sekolah Kluster Kena ‘Reject’ Sebab T20? Kena Tahu Beza 3 Sekolah Ini
Sumber: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Berita Harian
