Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan sebanyak 300 biasiswa KPM kepada pelajar cemerlang STPM 2024 yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di universiti awam tempatan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif ini merupakan usaha menarik minat lebih ramai pelajar lepasan STPM menyertai profesion perguruan serta mengukuhkan laluan akademik mereka ke peringkat lebih tinggi.
Baca juga: Sebelum Mula Pecah Tanah, Baca 8 Langkah Penting Ini Untuk Elak Kerugian Bina Rumah Sendiri!
300 BIASISWA KPM KEPADA PELAJAR CEMERLANG STPM 2024

“Ini yang kita sedang tumpukan perhatian untuk terus memberikan tumpuan kepada bakat-bakat berpotensi dan yang telah pun mencapai keputusan STM yang baik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024.
Selain laluan ke universiti, lepasan STPM juga kini diberi peluang menyertai program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang sebelum ini hanya terbuka kepada lepasan SPM.
“Inilah antara komitmen besar PM untuk memastikan Tingkatan Enam ini terus menjadi pilihan utama pelajar pasca-SPM dan membuka laluan lebih luas kepada mereka,” katanya.
Baca juga: Pakar Dedah Taktik Scammer Akses Data Telefon, Hanya Guna Jemputan Kahwin Palsu
Selain pelajar, guru Tingkatan Enam turut akan menerima manfaat melalui pelaksanaan kursus dan latihan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan MPM bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menyatakan sokongan terhadap cadangan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk memperkenalkan sistem ‘patching’.
Sistem tersebut membolehkan pelajar memperbaiki keputusan STPM dalam tahun sama tanpa perlu menunggu tahun berikutnya.
Sementara itu, keputusan STPM 2024 mencatat PNGK nasional 2.85. Ia meningkat sedikit berbanding tahun lalu, menurut Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
STPM juga terus diiktiraf di peringkat antarabangsa, setara dengan GCE A-Level, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.
Baca juga: Macam Dalam Siri CSI, Ini 7 Cara Forensik Kenal Pasti Mayat Tanpa Wajah!
Sumber: BERNAMA
FT Image: AI
