Persoalan mengenai hukum berwuduk guna air sisa minuman kucing sering menjadi keraguan bagi mereka yang memelihara haiwan ini, khususnya di kawasan perkampungan.
Terdapat kebimbangan apabila kucing meminum air kolah mandian, lebih-lebih lagi jika haiwan itu pernah menggigit atau membawa bangkai seperti tikus dan cicak. Adakah air kolah itu masih dianggap suci dan boleh digunakan untuk berwuduk?
Baca juga: Isteri Enggan Layan & Tak Tunaikan Nafkah Batin, Masih Layak Terima Nafkah Daripada Suami Ke?
HUKUM BERWUDUK GUNA AIR SISA MINUMAN KUCING

Freepik
Secara asasnya, Islam mengiktiraf kucing sebagai haiwan yang suci. Ini berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat al-Nasa’i, di mana Rasulullah SAW bersabda bahawa kucing bukan najis kerana ia haiwan yang sering berada di sekeliling manusia.
Menurut Imam al-Nawawi:
وَمَذْهَبُنَا أَنَّ سُؤْرَ الْهِرَّةِ طَاهِرٌ غَيْرُ مَكْرُوهٍ
Maksudnya: “Menurut pendapat kuat, sisa air minuman kucing adalah suci dan tidak makruh.”
Begitu juga sisa air yang diminum oleh haiwan-haiwan seperti kuda, keldai, binatang buas, tikus, ular, cicak dan semua binatang yang boleh dimakan dagingnya atau tidak boleh dimakan, maka sisa minuman dan peluhnya juga adalah suci serta tidak makruh.
Walau bagaimanapun, keharusan ini terkecuali pada anjing, khinzir dan anak hasil daripada kedua-duanya haiwan berkenaan.
Syeikh Zainuddin al-Ma’bari pula menyebut bahawa sisa minuman daripada setiap haiwan yang suci adalah suci. Jika mulutnya bernajis kemudian dia menjilat air yang sedikit atau cairan, (maka hukumnya diperincikan); jika haiwan itu sudah menghilang dan ada kemungkinan (ketika dia pergi) mulutnya menjadi suci dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir, maka air tersebut tidak menjadi najis walaupun haiwan itu adalah kucing. Namun, jika tidak sedemikian, maka airnya menjadi najis.

Freepik
Apabila haiwan yang suci memakan atau menggigit benda-benda bernajis kemudian berkeliaran untuk tempoh yang lama, ketika haiwan itu pulang semula lalu meminum air di suatu bekas kecil, maka hukum sisa air minuman tersebut adalah suci.
Hal ini kerana, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan ada kemungkinan haiwan itu akan menyucikan mulutnya dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir di kawasan lain.
Berbeza pula halnya ketika diyakini bahawa haiwan tersebut meminum air di suatu bekas sejurus selepas memakan benda bernajis. Justeru, sisa minuman haiwan pada ketika itu dihukumkan menjadi najis kerana tiada kemungkinan ia sempat menyucikan mulutnya.
Baca juga: Varian Baharu Covid-19 XFG Kini Dikesan Di Malaysia, Kes Masih Terkawal – KKM
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
