Tindakan seorang wanita yang dipercayai bersalin dalam tandas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) akhirnya membawa kepada penemuan mengejutkan.
Kejadian itu terbongkar apabila pihak pengurusan terminal menemui satu beg plastik berwarna biru yang mengandungi mayat bayi lelaki di dalam tong sampah tandas wanita di aras tiga, pada 9 Jun lalu.
Baca juga: Suami Buat Jadual KPI Bulanan Untuk Isteri, Warganet Kecam Layan Pasangan Macam Orang Gaji!
WANITA BERSALIN DALAM TANDAS TBS, BUANG MAYAT BAYI

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How, siasatan segera dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras susulan laporan penemuan berkenaan.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan sepasang kekasih berusia 21 tahun di Sepang, Selangor, pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kedua-dua suspek yang tidak bekerja mengakui terlibat dalam kejadian tersebut berdasarkan siasatan awal.
“Suspek wanita dipercayai melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah kerana bimbang diketahui ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasangan tersebut kini direman selama empat hari bermula 13 Jun bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara melupuskan mayat secara rahsia. Pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti butiran lanjut berkaitan kejadian tersebut.
Baca juga: Suami Buat Jadual KPI Bulanan Untuk Isteri, Warganet Kecam Layan Pasangan Macam Orang Gaji!
Sumber: Harian Metro
