Euforia Bola 2026
Famili

Kisah Cinta Dari Borneo Ke Belgium, Wanita Ini Tempuh Perjalanan Hidup Luar Biasa!

BERHIJRAH KE LUAR NEGARA

Berhijrah ke luar negara bukan perkara mudah seperti yang disangka terutamanya apabila perlu menyesuaikan diri dengan budaya, bahasa, dan persekitaran yang berbeza. Itulah pengalaman Suzy Aming, seorang wanita berasal dari Tawau, Sabah, yang kini menetap di Antwerp, Belgium sejak tujuh tahun lalu.

Baca juga: Senarai Penuh Mesin ATM CIMB Boleh Tukar Duit Raya, Bermula 17 Hingga 31 Mac 2025

BERHIJRAH KE LUAR NEGARA DEMI CINTA, INI KISAHNYA

BERHIJRAH KE LUAR NEGARA

Perjalanan Suzy ke Belgium bermula apabila dia bertemu dengan suaminya, Dave VP, semasa bekerja di Malaysia. Menurut Suzy, pertemuan itu pada mulanya tidak menimbulkan bibit cinta kerana perangai suaminya dikatakan seorang yang cerewet.

Namun, setelah beberapa lama perlu bekerja sekali, perasaan cinta mula timbul apabila mereka mula rapat dan perlu bekerja sekali dalam industri berkenaan.

Kedua-duanya pernah melalui fasa kehidupan berkeluarga sebelum ini namun perkahwinan mereka terdahulu tidak bertahan. Setelah berpisah dengan pasangan masing-masing, mereka bertemu, saling memahami dan akhirnya mengambil keputusan untuk membina kehidupan baharu bersama sebagai suami isteri.

Selepas berkahwin, Suzy berhijrah ke Belgium untuk memulakan lembaran baru. Namun, hijrah ini bukan sekadar perubahan lokasi tetapi juga satu cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sangat berbeza daripada tanah airnya.

“Antara perkara paling ketara yang berbeza antara Malaysia dan Belgium adalah cuaca, budaya, dan makanan. Setiap empat musim membawa keunikan tersendiri tetapi musim sejuk paling mencabar untuk saya.

“Saya rasa masyarakat Belgium juga lebih bersifat privasi. Maksudnya kalau nak bergaul dengan penduduk tempatan agak susah terutamanya jika tak fasih dalam bahasa mereka. Jadi, jalan mudah untuk menyesuaikan diri adalah dengan menguasai bahasa tempatan agar boleh bersembang bersama mereka,” jelasnya.

Cabaran berpuasa dan beraya di negara asing

BERHIJRAH KE LUAR NEGARA

Berhijrah ke luar negara pastinya tidak mudah, terutama ketika berpuasa dan menyambut Aidilfitri, kerana perlu menghadapi cabaran seperti perbezaan waktu, ketiadaan keluarga di sisi dan suasana perayaan yang tidak semeriah di tanah air.

“Salah satu cabaran besar bagi saya bila menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Belgium kerana di Malaysia sangat meriah dengan suasana Ramadan, lagu-lagu raya, dan dekorasi. Suasana di Belgium jauh lebih sunyi. Walaupun terdapat komuniti Muslim dari negara lain seperti Morocco dan Turki, sambutannya tidak dapat menandingi kemeriahan di Malaysia.

“Selain itu, waktu berpuasa di Belgium boleh jadi lebih panjang bergantung kepada musim tetapi saya tetap berusaha mengekalkan amalan berpuasa dan menyambut Aidilfitri secara sederhana bersama keluarga. Kedutaan Malaysia juga kadang-kadang ada mengadakan rumah terbuka, tetapi bukan pada hari pertama Aidilfitri jika ia jatuh pada hari bekerja,” ujarnya kepada penulis.

Apabila berhijrah ke luar negara, makanan tempatan yang paling dirindui sudah pastinya nasi lemak, kuih-muih dan mee goreng mamak.

Pada mulanya, Suzy hanya membantu suami dalam perniagaan makanan, tetapi kemudian dia mengambil inisiatif untuk membuka food truck sendiri dan memperkenalkan makanan Malaysia kepada masyarakat Belgium.

“Walaupun cabarannya besar kerana orang Belgium kurang biasa dengan makanan pedas tetapi masih mendapat sambutan. Menu popular di kedai saya adalah popiah, nasi goreng, tomyam dan sate,” jelasnya.

Nasihat untuk rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara

Walaupun berada di perantauan, Suzy tetap mengekalkan budaya asalnya seperti adat membuka kasut sebelum masuk ke rumah. Beliau juga berusaha memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakan-rakan di Belgium.

Bagi mereka yang bercadang untuk berhijrah ke luar negara, Suzy menasihatkan supaya mempelajari bahasa tempatan dan memahami budaya masyarakat di negara yang bakal didiami. Hal ini kerana akan memudahkan segala urusan pekerjaan dan pergaulan sosial di sana.

“Buat masa ini, saya masih menetap di Belgium bersama suami dan tiga orang anak. Saya tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kembali ke Sabah suatu hari nanti, bergantung kepada peluang dan keadaan yang sesuai,” ujarnya.

Kisah Suzy Aming membuktikan bahawa walaupun jauh di bumi asing, identiti dan budaya asal tetap boleh dikekalkan.

Ucapan raya

Baca juga: Anak Jati Sabah Cari Rezeki Di Korea Selatan, Sebar Budaya & Dakwah Melalui Masakan

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×