Rasuah sering kali dikaitkan dengan wang ringgit yang bertukar tangan secara senyap untuk mendapatkan sesuatu kelebihan atau layanan istimewa. Namun, dalam kehidupan seharian, terdapat bentuk rasuah ‘halus’ yang ramai antara kita tidak sedar sedang berlaku di sekeliling.
Mungkin kita sendiri pun terlibat dalam rasuah halus ini tanpa menyedarinya? Jom kita rungkaikan…
Baca juga: Jenis & Beza Talak Penceraian Dalam Islam, Fikir Dahulu Sebelum Lafazkan Ya..
APA ITU BENTUK RASUAH HALUS? INI CONTOH ANDA MUNGKIN BUAT

Foto: Freepik
Rasuah halus merujuk kepada tindakan memberi atau menerima kelebihan melalui hubungan, pengaruh, atau ‘jalan belakang’ tanpa melalui saluran yang sah. Ia tidak semestinya melibatkan wang, tetapi tetap menyalahi prinsip integriti, keadilan, dan ketelusan.
1. Gunakan ‘Kabel’ Untuk Urusan Cepat Lulus
Contohnya, seseorang ingin mempercepatkan kelulusan permohonan lesen atau projek dengan berkata, “Aku ada kawan kerja kat situ, aku cakap sikit dengan dia, mesti jalan.” Tanpa prosedur yang betul, permohonan tersebut terus diluluskan. Walaupun nampak mudah, ini merupakan bentuk salah guna kuasa dan pengaruh yang tidak adil kepada pemohon lain.
2. Layanan Istimewa Berdasarkan Siapa Yang Kita Kenal
Dalam banyak situasi, pelanggan yang mempunyai hubungan dengan pekerja dalam organisasi menerima layanan lebih mesra, cepat, atau diberi keutamaan berbanding orang lain. Ini berlaku contohnya di hospital, kaunter kerajaan, atau institusi pendidikan. Jika ia dilakukan atas dasar hubungan dan bukan keperluan atau keutamaan sebenar, maka ia boleh dikira sebagai satu bentuk rasuah halus.
3. Pemberian Hadiah Berlebihan Dengan Harapan Balasan
Memberi hadiah bukanlah satu kesalahan, tetapi apabila hadiah diberikan dengan harapan mendapat sesuatu keistimewaan (contohnya projek, kontrak, atau kelulusan), ia boleh dikategorikan sebagai sogokan terselindung. Ini termasuklah memberi barang mahal, percutian, atau “saguhati” kepada pegawai tertentu.
4. ‘Tolong-Menolong’ Yang Sebenarnya Tidak Telus
Kadang-kadang kita ‘menolong’ rakan atau saudara untuk mendapatkan pekerjaan, walaupun mereka tidak layak berbanding calon lain. Dengan menggunakan pengaruh atau kedudukan, mereka diterima masuk. Ini secara tidak langsung menafikan peluang mereka yang benar-benar layak.
Kenapa Rasuah Halus Berbahaya?
Walaupun tidak nampak besar kesannya, rasuah halus membawa impak yang mendalam:
– Individu yang lebih layak mungkin diketepikan hanya kerana mereka tiada ‘kabel’.
– Apabila orang ramai menyedari hanya yang ‘ada orang dalam’ mendapat kelebihan, kepercayaan terhadap sistem akan terhakis.
– Menyuburkan budaya salah guna kuasa

Foto: Freepik
Kesimpulannya, apabila dibiarkan berleluasa, ia akan menjadi norma yang sukar dibendung. Walaupun kelihatan ‘ringan’ atau dianggap biasa, rasuah halus adalah racun yang perlahan-lahan memusnahkan integriti dalam masyarakat. Kalau ada ‘cable’ boleh guna tapi perlulah melalui proses yang sama seperti orang lain..
Baca juga: Awas! Ini 9 Jenis Perabot Dikatakan Jadi ‘Sarang Setan’ & Tenaga Negatif Dalam Rumah
