Tidak lama lagi, sesi persekolahan baharu untuk tahun 2025 bakal bermula dan ramai dalam kalangan ibu bapa sedang melakukan persiapan. Antara barang yang wajib adalah pakaian sekolah, peralatan menulis dan beg sekolah.
Namun tidak semua ibu bapa yang berkemampuan untuk membelikan kelengkapan baharu buat anak-anak mereka. Malah ada segelintirnya terpaksa memakai uniform sekolah yang sama kerana harga barang yang dijual agak mahal buat mereka.
Baca juga: Less Is More, Ibu Beli Sepasang Saja Baju Sekolah Anak & Basuh Setiap Hari..Latih Tak Membazir
PENIAGA JUAL PAKAIAN SEKOLAH TIGA RM10 DIPUJI, NIAT NAK BANTU ORANG TAK MAMPU

Sedar mengenai perkara itu, seorang peniaga di Terengganu yang bernama Mohd Azrol Azhar dan dikenali sebagai Boss Spark di laman Tiktok mengambil pendekatan untuk menjual baju sekolah pada harga yang tidak masuk akal!
“Saya tak mengira sangat keuntungan. Niat saya lebih kepada membantu orang susah,” ujarnya dalam laporan Harian Metro.
Mohd Azrol berusia 38 tahun merupakan perniaga di Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu. Kisah mengenai perniagaannya yang menjual barang murah menjadi tular sehingga premis diserbu oleh orang ramai untuk mendapatkan pakaian sekolah dengan harga durian runtuh tapi kualiti baharu.
Difahamkan juga, Mohd Azrol menjual harga uniform sekolah bernilai RM10 untuk tiga helai pakaian dan perkara itu dilakukan dengan niat untuk membantu keluarga yang susah dan kurang berkemampuan.
“Kos sara hidup amat tinggi. Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak dan kurang berkemampuan, sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar untuk menyediakan kelengkapan sekolah.
“Niat saya untuk membantu golongan susah, saya jual dengan harga yang tidak masuk akal ini tanpa mengira soal keuntungan,” katanya.
Apa yang menyentuh hati orang ramai adalah, dia sanggup melabur hampir RM300,000 sebagai modal besar untuk jualan ini. Walaupun keuntungan sangat ‘nipis’ namun dia tetap gembira dapat membantu lebih 10,000 keluarga yang datang ke kedai untuk mendapatkan pakaian sekolah.
“Tahun ini saya membekalkan lebih 100,000 helai pakaian sekolah iaitu baju, seluar, kain, tudung, dan stokin. Semuanya habis dijual dalam tempoh seminggu,” jelas peniaga itu.
Mohd Azrol turut meluahkan rasa terharunya apabila terdapat pelanggan yang membeli pakaian sekolah pada jumlah yang banyak khas untuk membantu jiran serta penduduk yang tidak berkemampuan. Malah, ada juga dalam kalangan pelanggan yang datang, dapat baju percuma dengan niat bersedekah.
PELANGGAN ANAK RAMAI SUKA, STOKING DIBERI PERCUMA!
@sparkhobbytoysbike Promosi baju sekolah masih ada lagi ni . Mane2 hok cari boleh datang sekarang 🥰 #bajusekolah #bajusekolahmurah #bajusekolahrendah #bajusekolahmenengah #promosibajusekolah #fyp #sparkhobbytoysfanspage ♬ original sound – Boss Spark
Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Nik Mohd Syahmin Khalid, 37 yang menetap di Kuala Berang juga memaklumkan dia sanggup berkunjung ke premis terbabit bagi mendapatkan uniform sekolah buat tiga orang anaknya yang berusia 10, 7 dan 4 tahun.
Malah memaklumkan dia ke kedai itu kerana harga yang ditawarkan begitu murah untuk mendapatkan kelengkapan sekolah anak-anak.
“Setiap tahun saya memerlukan perbelanjaan besar untuk membeli kelengkapan sekolah termasuk baju, kain dan tudung.
“Berbelanja di sini, untuk set pakaian seperti baju, kain dan tudung, saya baharu memerlukan RM10 untuk seorang anak manakala stoking pula diberi secara percuma,” ujarnya.
Sebagai info tambahan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini membenarkan pelajar memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari dalam seminggu manakala baki tiga hari lagi dibenarkan untuk memakai baju sukan (2 hari) dan sehari baju kokurikulum.
Baca juga: Anak Bakal Masuk Darjah 1? Ini 11 Kemahiran Asas Mak Ayah Kena Latih Elak ‘Culture Shock’
Sumber: Tiktok @sparkhobbytoysbike, Harian Metro
