Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sedang meneliti langkah bagi menyita akaun kewangan bekas suami yang gagal membayar nafkah.
Menurut beliau, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah memulakan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM)bagi membolehkan pelaksanaan tindakan tersebut melalui perintah Mahkamah Syariah.
Baca juga: Hasrat Keluar Beli Susu Bertukar Tragedi, Bayi 11 Bulan Maut Lepas Kereta Langgar Lembu
BEKAS SUAMI CULAS BAYAR NAFKAH, AKAUN KEWANGAN AKAN DISITA

“Perbincangan itu telah pun dijalankan antara BSK dan Bank Negara bagi memastikan mekanisme ini dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) yang meminta penjelasan mengenai kaedah pemantauan dan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas membayar nafkah.
Datuk Dr Na’im turut menjelaskan bahawa kerajaan kini memperkukuh tindakan penguatkuasaan melalui pelbagai pendekatan undang-undang serta meningkatkan kesedaran kepada penanggung nafkah termasuk waris yang turut memikul tanggungjawab tersebut mengikut hukum syarak.
Selain itu, BSK turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan lokasi dan maklumat majikan penghutang penghakiman.

Katanya lagi, usaha tersebut disokong melalui pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, penyediaan kemudahan transit serta tindakan tegas terhadap penghutang demi memastikan kebajikan wanita dan anak-anak terus terpelihara.
“Langkah ini bukan sekadar memperkukuh sistem BSK, tetapi juga menguatkan keseluruhan institusi kehakiman syariah dalam menjaga hak wanita, anak-anak dan keharmonian keluarga Islam,” ujarnya.
Baca juga: Arab Saudi Larang Beri Makan Burung Merpati Di Mekah & Madinah, Denda 1,000 Riyal Dikenakan
Sumber: Sinar Harian
