Kegembiraan sepasang suami isteri yang menantikan kehadiran cahaya mata sulung bertukar tragedi memilukan hati apabila bayi mereka meninggal dunia sejurus dilahirkan. Bayi songsang tersebut meninggal dunia di bilik air rumah mereka di Puncak Alam pada 19 November.
Kisah sedih ini tular selepas dikongsikan di Facebook Mr Wan Cai Official, mengundang simpati orang ramai yang turut mendoakan kekuatan buat pasangan berkenaan.
Tiba-Tiba Sakit Perut, Ibu Masuk Ke Bilik Air Dan Lahirkan Bayi Songsang

Foto: FB Mr Wan Chai Official
Menurut perkongsian itu, kejadian berlaku sekitar jam 5.40 petang apabila si ibu yang sedang berehat tiba-tiba mengadu mengalami sakit perut kuat serta menunjukkan tanda-tanda awal mahu bersalin.
Suami yang panik segera menghubungi talian kecemasan 999, namun panggilan pertama tidak berjawab. Ketika kesakitan semakin memuncak, si isteri menuju ke bilik air manakala suaminya terus mencuba menghubungi bantuan perubatan.
Beberapa minit kemudian, panggilan berjaya disambungkan tetapi talian terputus. Berdebar memikirkan keadaan isterinya, si suami bergegas ke bilik air dan setibanya di bilik air, dia mendapati isterinya terbaring lemah di lantai. Lebih mengejutkan, bayi mereka telah keluar dari bahagian kaki sehingga ke paras leher dalam keadaan songsang.
Walaupun cemas, si suami cuba menenangkan isterinya sambil memegang tubuh bayi yang masih tersangkut di rahim namun dia tidak berani menarik bayi itu kerana bimbang mencederakan isteri dan anaknya. Dengan sisa tenaga yang ada, si ibu terus berusaha meneran beberapa kali. Akhirnya, kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.
Bayi Gagal Diselamatkan, Disahkan Meninggal Dunia

Foto: FB Mr Wan Chai Official
Tidak lama kemudian, talian kecemasan berjaya dihubungi semula. Operator perubatan memberikan arahan langkah demi langkah untuk melakukan CPR terhadap bayi yang tidak bergerak.
Bayi itu diletakkan di pangkuan si ibu, namun tiada sebarang tindak balas. Tidak lama selepas itu, pasukan perubatan tiba dan mengesahkan bayi tersebut telah meninggal dunia akibat dipercayai lemas ketika proses kelahiran songsang. Ibu dan bayi kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk pemeriksaan lanjut termasuk proses bedah siasat.
Bayi lelaki itu diberi nama Muhammad Amir Faris dan jasadnya dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur.
Suasana pilu menyelubungi pengurusan jenazah apabila bapa bayi diberi peluang memandikan sendiri anak sulungnya dan itu merupakan momen yang membuatkan ramai yang hadir sebak. Dia beberapa kali dilihat mengalirkan air mata, masih terkejut dengan kehilangan yang begitu cepat dan tidak dijangka.
Kisah ini menjadi peringatan kepada orang ramai tentang betapa cepat situasi kecemasan boleh berlaku ketika proses melahirkan. Orang ramai di media sosial turut menitipkan doa agar pasangan ini diberikan kekuatan menghadapi ujian yang berat ini.
Sesungguhnya Allah tidak menguji hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuan…
Sumber: FB Mr Wan Chai Official
