Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang layak. Terbaharu, bayaran STR Fasa 2 akan mula dilakukan pada Isnin depan iaitu 24 Mac 2025.
Peruntukan bayaran STR FASA 2 berjumlah RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion tahun lalu. Difahamkan, hampir 9 juta penerima terdiri daripada 60% rakyat dewasa.
Baca juga: Tabung Haji Umum Dividen 2024 Sebanyak 3.25%, Terbaik Dalam 7 Tahun & Mula Dikreditkan Hari Ini
BAYARAN STR FASA 2 BERMULA 24 MAC (ISNIN) INI

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Peningkatan peruntukan STR dan SARA pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” jelasnya.
Bayaran STR Fasa 2 akan dikreditkan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kelayakan.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pendekatan baharu dengan membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia menerima bantuan kerajaan.
Jika nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, anda perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan ini (https://bantuantunai.hasil.gov.my)
Baca juga: Senarai Penuh Mesin ATM CIMB Boleh Tukar Duit Raya, Bermula 17 Hingga 31 Mac 2025
Sumber: Buletin TV3
