Tindakan seorang tuan rumah mencuri perhatian ramai apabila berkongsi perbualan WhatsApp bersama penyewanya yang memohon kelonggaran bayaran rumah sewa.
Penyewa berkenaan yang sudah hampir tiga tahun menetap dan menjaga rumah tersebut, buat pertama kali terpaksa meminta ihsan apabila berdepan kekangan kewangan.
Baca juga: Bapa Penuntut UniSZA Nampak Mayat Atas Jalan, Tak Sangka Rupanya Anak Perempuan Sendiri
BAYARAN RUMAH SEWA PERCUMA, OWNER DARI SYURGA FAHAM SITUASI

Freepik
Menurut penyewa itu, dia dan suaminya bekerja dalam bidang jualan yang pendapatannya tidak menentu. Bulan tersebut pula menjadi agak mencabar kerana perlu mendahulukan keperluan empat orang anak yang baru memulakan sesi persekolahan.
Justeru, mereka memohon kebenaran untuk membayar sebahagian kecil sewa dahulu, manakala baki akan dijelaskan secara ansuran pada bulan-bulan berikutnya.
“Assalamualaikum cik. Boleh tak hari ni kami bayar sewa rumah RM300 dulu? Lagi RM1250 kami bayar secara ansurans sekali dengan sewa bulanan akan datang. Sebab bulan lepas saya dan suami gaji sales tak banyak. Bulan ini duit banyak
nak kene dahulukan 4 orang anak start sekolah. Harap cik pertimbangkan ye,” tulis penyewa rumah itu.
Tuan rumah berkenaan bukan sahaja tidak mengambil sebarang bayaran sewa untuk bulan tersebut, malah meminta penyewa itu agar tidak memikirkan soal sewa dan mendahulukan keperluan anak-anak terlebih dahulu.

“Anggap sahaja sewa bulan ini saya sedekahkan untuk keperluan sekolah anak-anak,” antara mesej yang dikongsikan.
Keikhlasan itu disambut dengan rasa syukur dan doa yang tulus daripada penyewa, yang mendoakan agar segala kebaikan tuan rumah dibalas dengan rezeki yang berlipat ganda serta dipermudahkan urusan hidup.
Menurut tuan rumah, penyewa tersebut telah menjaga rumahnya dengan baik selama tiga tahun dan tidak pernah menyusahkan. Justeru, apabila mereka berada dalam kesempitan, beliau memilih untuk memudahkan urusan tanpa berkira.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa dalam dunia yang semakin mencabar, sifat empati dan tolak ansur masih wujud. Kadangkala, satu kelonggaran kecil mampu meringankan beban besar yang ditanggung sebuah keluarga terutamanya demi masa depan anak-anak.
Baca juga: Kehebatan Di Sebalik Takhta, Ini 5 Sultan Di Malaysia Dengan Latar Pendidikan & Kerjaya Luar Biasa!
Sumber: Threads compartir_sustento
