Tragedi menyayat hati meragut nyawa seorang pelajar UUM (Universiti Utara Malaysia) baru-baru ini telah membuka ruang keprihatinan pelbagai pihak.
Dalam semangat solidariti dan tanggungjawab sosial, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menziarahi keluarga Allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim menerusi Program Ziarah PTPTN Prihatin. Lawatan ini bukan sekadar membawa sumbangan, tetapi juga menyampaikan rasa simpati dan sokongan moral buat waris yang ditinggalkan.
Baca juga: “Arwah Anak Sulung Harapan Keluarga..”- Siswi UUM Maut Dihimpit Bas Kampus, Kecederaan Jantung
PTPTN BANTU LANGSAIKAN PINJAMAN PELAJAR UUM MANGSA DIHIMPIT BAS

Foto semasa pihak PTPTN sampaikan bantuan kepada keluarga mangsa.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan penuh rasa simpati telah mengadakan kunjungan menerusi Program Ziarah PTPTN Prihatin ke atas waris mangsa tragedi kemalangan melibatkan dua buah bas yang berlaku di hadapan perhentian bas, Jalan Persiaran Perdana, Universiti Utara Malaysia (UUM). Mangsa terlibat ialah Allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim.
Lawatan dan penyerahan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah diadakan di kediaman waris Allahyarhamah di Felda Chemplak, Labis, Johor. Program ini disempurnakan oleh YBrs. Puan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN yang mewakili Pengerusi dan pihak pengurusan PTPTN. Turut hadir ialah Puan Rafidah binti Sidek, Pengurus Cawangan PTPTN Negeri Johor.
Allahyarhamah Manarina Hasya, berusia 22 tahun, merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Dengan Kepujian di UUM dan juga peminjam PTPTN. Melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok PTPTN, keseluruhan baki pinjaman Allahyarhamah berjumlah RM12,629.82 telah diselesaikan. Di samping itu, waris turut menerima khairat kematian sebanyak RM1,500.
Sebagai tambahan, PTPTN turut menyampaikan sumbangan CSR berupa wang tunai sebanyak RM2,000 serta kotak makanan kepada keluarga Allahyarhamah.
Tragedi yang berlaku pada 19 April 2025 ini sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga mangsa. Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN terus komited dalam usaha menjaga kebajikan peminjam melalui pelbagai inisiatif CSR yang dilaksanakan. Keprihatinan ini diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung waris.
PTPTN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Diharapkan manfaat daripada Skim Perlindungan Takaful Berkelompok ini mampu memberi kelegaan dan sokongan kepada waris dalam melalui waktu yang sukar. Setiap manfaat yang diberikan mencerminkan komitmen PTPTN terhadap kebajikan peminjam dan keluarga mereka.
Skim perlindungan takaful berkelompok ini direka untuk melindungi jumlah pinjaman pendidikan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam, meliputi tempoh 24 jam sehari di seluruh dunia, sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
Bagi waris peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh dimuat turun di portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Borang yang lengkap bersama dokumen sokongan hendaklah dihantar ke Pejabat PTPTN Negeri/Cawangan berdekatan atau dipos terus ke Ibu Pejabat PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

Foto mangsa.
“Perginya seorang insan bergelar pelajar, meninggalkan sejuta harapan”
Baca juga: “Orang Pertama Dalam Keluarga Pergi Sekolah” – Anak Kampung Raih Anugerah Dekan Columbia University!
Sumber: Kosmo
