Euforia Bola 2026
Famili

Bukan Sekadar Main, Basikal Tanpa Pengayuh Bantu Anak Lebih Fokus & Sihat

basikal tanpa pengayuh

Bagi kebanyakan kanak-kanak, pushbike atau basikal tanpa pengayuh hanyalah aktiviti riadah biasa yang menyeronokkan. Namun di sebalik itu, ramai ibu bapa mula menyedari bahawa sukan dua roda ini sebenarnya memberi manfaat lebih besar kerana menjadi satu bentuk terapi santai yang membantu perkembangan anak dari pelbagai sudut.

Baca lagi: Tular Terapi Bedung ‘Konon’ Boleh Rawat Anak Lambat Bercakap, Pakar Tegur Semua Ini Tak Masuk Akal!

BASIKAL TANPA PENGAYUH JADI TERAPI ANAK

basikal tanpa pengayuh

Foto: Bernama

Daripada membantu kanak-kanak hiperaktif mengurus tenaga, hinggalah meningkatkan tahap kecergasan bagi anak yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, pushbike kini semakin mendapat perhatian sebagai medium rehabilitasi yang efektif, santai dan menyeronokkan.

Seorang bapa, Azhari Mohd Daud berkongsi bahawa penglibatan anaknya dalam latihan pushbike bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi sebagai alternatif kepada terapi formal.

Menurutnya, kanak-kanak autistik memerlukan ruang untuk melepaskan tenaga berlebihan. Melalui latihan pushbike, anaknya bukan sahaja aktif secara fizikal, malah mula belajar kemahiran asas penting seperti mendengar arahan dan memberi fokus.

Apa yang lebih menggembirakan, perubahan positif turut jelas kelihatan kerana anaknya semakin kurang melakukan pergerakan berulang seperti flapping hand dan lebih jarang jatuh sakit berbanding sebelum ini.

Kurang Risiko, Lebih Keyakinan

Berbeza dengan basikal biasa yang menggunakan roda sokongan, pushbike melatih keseimbangan badan secara semula jadi kerana kaki kanak-kanak sentiasa menyentuh tanah. Ini bukan sahaja membantu perkembangan motor kasar dan halus, malah mengurangkan risiko kecederaan akibat terjatuh.

Latihan yang konsisten juga membantu membina keyakinan diri kanak-kanak, terutamanya mereka yang sebelum ini kurang aktif atau mempunyai cabaran perkembangan.

Dari Asma Kronik Ke Pentas Antarabangsa

basikal tanpa pengayuh

Foto: Bernama

Seorang jurulatih pushbike yang dikenali sebagai Coach Ewan turut berkongsi pengalaman melihat perubahan besar pada anaknya sendiri.

Dahulu, anaknya sering mengalami masalah asma dan mudah semput walaupun hanya melakukan aktiviti ringan. Namun selepas aktif dalam latihan pushbike, tahap kesihatannya semakin baik, bukan sahaja kurang mengalami simptom, malah stamina juga meningkat dengan ketara.

Menariknya, perubahan itu membuka peluang lebih besar apabila anaknya berjaya menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan mencatat pencapaian membanggakan.

Dari Basikal Terpakai, Kini Basikal Tanpa Pengayuh Jadi Juara

Kisah inspirasi lain turut datang daripada seorang ibu yang mendedahkan bagaimana minat anaknya terhadap pushbike bermula hanya dengan basikal terpakai yang ditemui.

Sebelum ini, anaknya sering mengalami sakit sendi sehingga menjejaskan pergerakan harian. Namun selepas beberapa bulan konsisten berlatih, perubahan ketara dapat dilihat daripada segi stamina, kesihatan dan juga prestasi dalam sukan.

Kini, anaknya mampu bersaing dalam kelompok terbaik bagi kategori umur, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Lebih Dari Sekadar Sukan

Hakikatnya, pushbike bukan sekadar langkah awal sebelum kanak-kanak beralih ke basikal berpedal. Ia sebenarnya satu platform pembelajaran kehidupan.

Di sinilah anak-anak belajar tentang disiplin, keberanian, fokus dan usaha. Dalam masa sama, sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri mereka.

Kadang-kadang, perkara yang nampak kecil seperti bermain basikal tanpa pengayuh, rupanya mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seorang anak.

Baca lagi: Jenis-Jenis Terapi Untuk Kanak-Kanak Autisme, Boleh Tingkat Kemahiran Diri

Sumber: Bernama

FT Images: Bernama dan Freepik 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×