Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai mencari cara untuk berjimat tanpa mengabaikan keperluan barang dapur.
Satu perkongsian daripada seorang wanita dikenali sebagai Nabihah Rahman di Facebook baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila berkongsi tip ringkas tetapi praktikal untuk mereka yang sedang kesempitan wang.
Baca juga: Peniaga Aiskrim Malaysia Kongsi Tip ‘Rare’ Elak Cepat Cair, Rupanya Letak Ais Dalam Kotak Itu Silap!
BARANG DAPUR BAJET, AYAM SEEKKOR BOLEH MASAK BANYAK MENU

Menurutnya, dengan hanya RM20 di tangan, pilihan makanan yang dibuat boleh memberi kesan besar kepada tempoh kenyang dan nilai nutrisi yang diperoleh.
“Kalau kesempitan wang ada RM20 jangan beli megi, beli ayam sekor RM17 potong sop kecilkan portion. Ambil segengam beras masak bubur letak ayam masak makan. Kalau ada sayur tanam sekeliling rumah lagi bagus kangkung masak atau celur je.
“Makan dengan bubur. Ayam dah ada rasa kalau tak mampu beli garam pon ok je. Saya cakap ni sebab saya dah lalui benda ni & itulah saya buat,” jelasnya.
Perkongsian jujur itu ternyata menyentuh hati ramai, lebih-lebih lagi apabila datang daripada pengalaman sendiri. Idea untuk mengutamakan makanan sebenar seperti ayam dan nasi berbanding mi segera dilihat lebih mengenyangkan serta boleh dipelbagaikan untuk beberapa hidangan.
Menariknya, ruangan komen turut dibanjiri pelbagai pandangan yang menyokong pendekatan tersebut. Malah, perkongsian itu telah mendapat lebih 2,000 perkongsian di Facebook, menunjukkan ramai yang merasakan relevan dengan situasi semasa.
Salah seorang pengguna turut berkongsi pengalaman hampir sama dalam menguruskan perbelanjaan dapur untuk keluarga.

“Setuju. Saya beli ayam segar dekat tempat saya ada orang jual, kita nak baru dia sembelih. Biasanya beli berat 2.2kg, tambah kaki ayam 1kg, boleh masak 4 menu (4 kali masak) sebab kami berempat perut dewasa.
“Makan real food better, saya pun amalkan makanan sihat dekat rumah, kurang makan gluten. Ayam ni biasanya untuk anak-anak. Protein untuk saya ganti telur, ayam buat perasa je.
“Contoh buat kari atau kurma ayam, ayamnya 3 ketul, telurnya 5 biji, tambah kentang. Anak makan ayam, mak ayah makan telur. Kalau nak buat sup bahagian tulang, tambah kaki ayam. Boleh makan dengan nasi atau bihun,” ujarnya.
Perkongsian seperti ini bukan sahaja memberi idea kepada mereka yang ingin berjimat, malah membuka mata tentang pentingnya merancang makanan dengan lebih bijak.
Dengan sedikit kreativiti, bahan asas seperti ayam boleh dipelbagaikan menjadi beberapa hidangan yang cukup untuk seisi keluarga.
Baca juga: Kek Hujan Panas ‘Legend’ Resipi Arwah Ibu Kembali Jadi Perhatian, Simple Tapi Penuh Kenangan
Sumber: Facebook Nabihah Rahman
